Semalam pula hampir 47,000 anggota pasukan kese­lamatan dikerahkan apabila Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan secara rasmi kemenangan Joko Widodo (Jokowi) dan Ma’ruf Amin sebagai Presiden dan Naib Presiden Indonesia.

Langkah berjaga-jaga itu dilakukan kerana bimbang tercetus rusuhan yang boleh menghuru-harakan Jakarta dan mungkin juga merebak ke wilayah lain. Namun Indonesia terus tenang. Calon yang menang bersyukur dan tidak terlalu teruja meraikan kemenangan serta menghulurkan salam perdamaian manakala calon yang kalah pula menerima keputusan mahkamah dengan terbuka.

Sememangnya sama ada sesuatu keputusan pilihan raya itu akan mencetuskan ketega­ngan atau ketenangan segala-galanya bergantung kepada individu atau parti yang bertanding terutamanya pihak yang kalah.

Dalam kes pemilihan Pre­siden Indonesia, kedua-dua pihak telah menyatakan sejak awal lagi akan menerima apa sahaja keputusan mahkamah dan ternyata janji itu ditepati. Pasukan Prabowo Subianto dan Sandiago Uno pada Khamis lalu mengumumkan pendirian mereka menghormati keputusan mahkamah.

Pendirian Prabowo itu bukanlah sesuatu mengejutkan. Peristiwa Jakarta bermandi darah pada 22 Mei lalu, benar-benar mengejutkan dunia selepas 21 tahun kejadian seumpama itu tidak berlaku di Indonesia.

Pelbagai pihak menuding jari kepada Prabowo kerana awal-awal lagi mengisytiharkan kemenangan ketika undi masih dikira dan apabila keputusan diumumkan Jokowi kekal sebagai Presiden – maka merusuhlah penyokong Prabowo.

Tragedi itu tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya meletakkan Indonesia berada dalam kedudukan ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’, masa depan Indonesia dan rakyat menjadi taruhan.

Oleh itu bagi mengelakkan kejadian berulang, pada 15 Jun lalu, Jokowi dan Prabowo mengeluarkan kenyataan ber­asingan meminta semua pihak bertenang dan menerima secara terbuka keputusan mahkamah.

Ketika Jokowi menegaskan: “Saya sedia melakukan perda­maian bila dan di mana sahaja.”, Prabowo pula mengingatkan penyokong supaya tidak berkumpul di Mahkamah Konstitusi kerana tegas beliau: “Kami sama sekali tidak ingin ada kerusuhan apapun di negara ini.”

Apabila keputusan diumumkan, Jokowi mengajak seluruh rakyat Indonesia bersatu kembali dan bersama-sama membangun dan memajukan negara itu dengan hujah beliau: “Tidak ada lagi 01 dan 02 (nombor calon), yang ada ha­nyalah penyatuan Indonesia.”

Prabowo juga membuat ke­nyataan yang dilihat memungkinkan tiada pergolakan politik berlaku di negara tersebut apabila berkata: “...kita harus memikirkan kepen­tingan lebih besar, keutuhan bangsa dan negara, kita harus memandang seluruh anak bangsa adalah saudara-saudara kita sendiri.”

Ternyata kematangan politik Jokowi dan Prabowo mendamaikan Indonesia. Ini me­nunjukkan kematangan luar biasa ketika di tangan mereka terletak penentuan sama ada Indonesia akan aman atau tidak.

Sikap kedua-dua pemimpin itu disentuh Pengarah Eksekutif Arus Survey Indonesia, Ali Rif’an dalam analisisnya yang disiarkan oleh portal berita Detik.com. Antara lain beliau berkata, politik damai yang ditunjukkan oleh Jokowi dan Prabowo akan memberikan teladan kepada rakyat dan generasi akan datang.

“Pertama, bahawa pertaru­ngan politik setajam apapun adalah bersifat sementara. Setelah pertarungan selesai, maka semua harus melebur jadi satu. Perpaduan bangsa nombor satu, sedangkan perbezaan posisi politik itu nombor dua. Politik adalah urusan kepenti­ngan awam, bukan kepenti­ngan individu dan kelompok.

“Kedua, dengan melakukan politik damai, maka Jokowi dan Prabowo telah menunjukkan etika politik yang agung dan benar-benar memikirkan kepentingan bangsa. Politik bukan (sekadar) soal ‘siapa dapat apa, kapan, dan bagaimana’ sebagaimana diungkapkan Harold D Laswell. Namun, lebih kepada soal ‘menciptakan kehidupan yang lebih baik, tidak sebatas dirinya sendiri akan tetapi untuk kepentingan umum’ seperti dikatakan filsuf Aristoteles,” katanya.

Kesimpulannya, sama ada sesebuah negara itu akan aman atau tidak selepas berlangsung pilihan raya bergantung kepada watak-watak ahli politik. Merekalah penentunya. Politik matang dan damai yang ditunjukkan oleh Jokowi dan Prabowo perlu dicontohi oleh semua ahli politik.

Semoga Indonesia terus aman dan damai. Sesungguh­nya mereka beruntung kerana ada pemimpin berjiwa besar seperti Jokowi dan Prabowo yang meletakkan kepentingan bangsa dan negara mengatasi segala-galanya.