Televisyen kerajaan melaporkan, lebih 56 juta daripada ke­seluruhan 80 juta penduduk Iran la­yak mengundi dan barisan panjang dapat dilihat di luar pusat pengundian di beberapa bandar utama.

Pusat-pusat pengundian ditutup pada pukul 6 petang waktu tempatan dan kiraan dimulakan pada lewat tengah malam dengan keputusan akhir dijangka diumumkan dalam tempoh 24 jam.

“Semua perlu mengundi dalam pilihan raya yang penting ini. Nasib negara ini ditentukan oleh rakyat,” kata Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei selepas mengundi di ibu negara.

Hassan yang berhaluan sederhana berdepan saingan sengit calon yang mendapat sokongan badan ulama, Ebrahim, 56, yang turut menggelar dirinya sebagai pejuang golongan miskin dan se­ring mendesak dasar lebih tegas terhadap pemimpin Barat.

Ebrahim sebelum ini berjanji akan menyokong tawaran perjanjian nuklear dengan kuasa dunia pada 2015 yang mengehadkan penghasilan uranium sebagai pertukaran kepada penamatan beberapa sekatan ekonomi terhadap Iran.

Beliau yang juga anggota badan kehakiman dan salah seorang daripada empat hakim yang bertanggungjawab menjatuhkan hukuman mati terhadap beribu-ribu tahanan politik pada 1988, mendapat sokongan selepas calon konservatif lain digugurkan daripada saingan.

Sementara itu, Hassan yang memperjuangkan tawaran untuk menarik kembali sekatan ke atas Iran sebagai pertukaran terhadap sekatan program nuklear, menyokong penglibatan dengan Barat dan mahukan pembaharuan liberal kepada ekonomi yang kini dikuasai oleh institusi negeri.

Beliau berkata, kemena­ngan Ebrahim meletakkan Iran kembali berkonfrontasi de­ngan Barat sekali gus menggugat perkembangan ekonomi dan menghalang keterbukaan. – REUTERS