Sekumpulan pengkaji di Universiti Rockefeller di sini mendapati, serangga yang diberi ubat mengandungi NPY kurang cenderung untuk menghisap darah apabila ‘dihidangkan de­ngan tangan manusia’.

Ubat tersebut berfungsi ‘me­ngawal selera makan’ pelbagai jenis kehidupan termasuk ca­cing sehingga manusia dan se­ring digunakan sebagai ubat anti obesiti bagi menyekat keinginan makan secara berlebihan.

Lapor Daily Mail, para saintis percaya, jika nyamuk betina diberikan ubat tersebut, kaedah itu boleh membantu kawalan penularan wabak penyakit berkaitan nyamuk.

Menurut ketua pengkaji, Prof. Leslie Vosshall, nyamuk betina menghisap darah manusia untuk membantu telur-telurnya menjadi matang dengan setiap seekor daripadanya mempunyai beberapa kitaran menghisap darah dan bertelur sepanjang hayat.

Hal ini menjelaskan bahawa apabila nyamuk betina ‘menggigit manusia’ dengan membawa virus Zika, maka perkara itu mempunyai kecenderungan untuk menyebar penyakit tersebut.

Hampir separuh daripada populasi dunia berisiko dijangkiti malaria dengan 212 juta kes dan 429,000 kematian dicatatkan pada 2015.

“Mengelak daripada terkena gigitan nyamuk merupakan satu langkah penting dalam strategi kesihatan umum global.

“Kami memberi ubat tersebut kepada nyamuk betina daripada spesies Aedes dan menunjukkan serangga itu kurang menghisap darah biarpun kami meletakkan tangan manusia sebagai um­pan,” kata Vosshall.

Jelasnya, nyamuk betina menjadi aktif apabila lapar dan mereka dapat menghidu bau manusia, namun selepas diberikan ubat tersebut, serangga berkenaan dilihat seperti ‘kurang berselera’.