Parti Palang Pracharat, yang pro-Junta, berada di kedudukan kedua dengan 97 kerusi.

Pengundian yang berlangsung pada Ahad, merupakan pilihan raya pertama selepas kudeta tentera 2014, diadakan bagi memilih 500 wakil rakyat dengan 350 dipilih secara langsung melalui pilihan raya kawasan.

Sejumlah 150 lagi akan dilantik dalam kalangan calon yang disenaraikan parti.

Berdasarkan undi popular, SPR Thailand melaporkan bahawa Parti Palang Pracharat kini mendahului dengan 7.69 juta undi manakala Parti Pheu Thai meraih 7.22 juta undi.

Parti Future Forward, sebuah parti politik progresif baharu yang diterajui jutawan terkenal, Thanathorn Juangroongruangkit, pula meraih 5.31 juta undi.

Sistem pilihan raya baharu Thailand menyaksikan sejumlah 750 anggota parlimen (500 di Dewan Rakyat dan 250 di Dewan Negara atau Senat) bakal memilih perdana menteri seterusnya. Sebelum ini, hanya anggota dewan rakyat mengundi bagi menentukan siapa yang menjadi perdana menteri.

Di bawah perlembagaan baharu, kesemua 250 anggota Senat dilantik oleh puak junta Thailand.

Sementara itu, Ketua Setiausaha SPR Thailand Jarungwit Phumma berkata anggota parlimen dalam kalangan calon yang disenaraikan parti hanya akan diumum selepas semua aduan berkaitan penyelewengan dalam pilihan raya umum telah disiasat dan dibersihkan.

Berdasarkan statistik, sejumlah 35.4 juta daripada 51.2 juta pengundi yang layak telah mengundi. Keputusan rasmi akan diumum selewat-lewatnya pada 9 Mei. -BERNAMA