Seorang pegawai yang enggan dikenali berkata, walaupun amaran diberikan melalui radio secara berulang kali supaya dron itu tidak menghampiri pesawat berkenaan tetapi ia telah mengubah penerbangannya secara ‘tidak profesional dan tidak selamat’ dekat dengan pesawat F/A-18E Super Hornet itu.

Insiden berkenaan antara AS dan Iran bukanlah perkara baharu tetapi ini adalah pertama kali dron milik Iran bertindak secara berbahaya dengan terbang berhampiran pesawat pejuang AS di lautan itu.

Ini merupakan kali ke-13 insiden yang tidak profesional dan tidak selamat berlaku melibatkan angkatan tentera laut kedua-dua negara pada tahun ini.

Permusuhan antara kedua-dua buah negara reda apabila Washington menarik balik sekatan terhadap Tehran pada tahun lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian mengawal program nuklear Iran.

Bagaimanapun, persengke­taan antara mereka tentang program peluru berpandu balistik Iran dan konflik di Syria dan Iraq, masih berlanjutan.

Pentadbiran Presiden Donald Trump yang berpendirian tegas terhadap Iran baru-baru ini mengakui Iran telah mematuhi perjanjian nuklear­nya dengan kuasa-kuasa dunia tetapi masih belum memenuhi sepenuhnya semangat perjanjian berkenaan. AS mempunyai beberapa pangkalan tentera di rantau teluk termasuk di Qatar dan Kuwait manakala armada kelima AS berpangkalan di Bahrain. –Reuters