Menurut portal berita Mail Online, siapa sahaja yang melihat rekaan Keith Burbidge itu pasti akan tertarik dengan keunikan replika ‘comel’ tersebut yang dibina berdasarkan ciri-ciri sebenar bas dua tingkat berwarna kuning milik perkhid­matan Yellow Buses.

Lelaki berusia 75 tahun itu dilaporkan menggunakan dua tempat duduk bas berkenaan yang disimpan sejak 30 tahun lalu bersama beberapa bahan terpakai untuk menghasilkan replika bersaiz 1.2 meter ter­sebut.

Paling mengujakan, hasil tangan Burbidge itu bukan sekadar hiasan malah boleh dipandu dengan kelajuan sehingga 8.04 kilometer sejam dan beliau dikenali ramai penduduk sekitar kerana sering membawa isterinya, Carol Burbidge bersiar-siar dengan kenderaan tersebut.

“Saya tidak pasti jika kenderaan mini ini mele­pasi undang-undang jalan raya, kerana itu saya hanya menggunakannya di laluan pejalan kaki. Carol juga sa­ngat sukakannya dan dia gemar memandunya.

“Saya membinanya meng­­gunakan cebisan papan iklan lama, logam tiub serta beberapa lagi bahan terbuang tanpa mengeluarkan kos yang tinggi dan tempat duduknya adalah kerusi bas Bournemouth Corporation yang saya dapat apabila syarikat itu berpindah ke depot baharu mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Burbidge mengakui gembira mela­yani kerenah ‘peminatnya’ apabila ramai penduduk di kawasan tersebut termasuk pelancong gemar berswafoto dengan kenderaan itu setiap kali dia keluar bersiar-siar bersama isterinya.

“Kebanyakan orang pasti akan terkejut melihat kami. Pernah sekali, kami hampir menyebabkan kemala­ngan apabila ramai pemandu mem­­berhentikan kereta me­­reka kerana teruja dan mahu bergambar dengan bas co­mel ini,” katanya.