Langkah itu adalah bertujuan memantau kehidupan etnik berkenaan termasuk menghadiri majlis perkahwinan dan upacara pengebumian yang dilakukan.

Portal Independent yang memetik laporan akhbar rasmi Parti Komunis China melaporkan, kira-kira 1.1 juta pegawai kerajaan ditempatkan selama seminggu bagi tempoh setiap dua bulan di rumah etnik Uighur.

Kerajaan China menamakan kempen tersebut sebagai ‘Berpasangan dan Menjadi Keluarga’ ketika media sosial menunjukkan penglibatan etnik tersebut menerima kehadiran anggota perisik sebagai ahli keluarga baharu mereka.

Pihak berkuasa China menyifatkan kempen itu sebagai program sukarela, namun etnik Uighur menyedari bahawa keengganan terlibat dalam program berkenaan boleh menyebabkan mereka dilabel sebagai pengganas.

Seorang penduduk Uighur, Halmurat Idris memberitahu, dia berasa sedih dan marah selepas melihat gambar adik perem­pu­annya tersenyum hambar dengan seorang anggota perisik wanita yang tinggal bersamanya.

“Saya rasa ingin muntah apabila melihat gambar itu. Anggota perisik wanita itu merupakan musuh kami. Bagaimana dia boleh menjadi ‘ibu’ kami?” katanya.

Ahli keluarga Uighur juga ti­dak dibenarkan menunaikan solat, memakai pakaian menu­tup aurat apabila anggota pe­risik berada dalam rumah mereka, selain setiap pergerakan mereka akan diperhatikan.

Dalam pada itu, satu analisis baharu terhadap beberapa imej satelit menunjukkan kem-kem tahanan yang dibangunkan oleh pihak berkuasa China di wilayah Xinjiang kini sudah meningkat kepada 39 peratus.

Secara kolektif, pembangunan kem-kem tersebut mening­kat sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh 17 bulan antara April 2017 hingga Ogos tahun ini, selain beberapa imej juga menunjukkan kerja-kerja pembinaan masih berterusan.

Bagaimanapun, kawasan kem seluas 140 buah padang bola itu hanya sebahagian daripada kem tahanan yang diketahui wujud.

Hal ini kerana, media tidak dapat melaporkan situasi sebenar di wilayah tersebut memandangkan akses terhad.

China memulakan operasi ‘mencegah kegiatan pengganas’ dalam kalangan etnik Uighur sejak 2014 selepas berlaku beberapa siri serangan keganasan di Xinjiang.