Lapor Press TV, Pengerusi Ketua Turus Tentera AS, Jeneral Joseph Dunford berkata, AS sedang meneruskan pelannya untuk membentuk pakatan itu yang bertujuan memastikan kebebasan pelayaran di perairan Iran dan Yemen.

“Ketika ini, kami terlibat dengan beberapa negara untuk melihat sama ada kita boleh menubuhkan sebuah pakatan yang menjamin kebebasan pelayaran di Selat Hormuz dan Bab al-Mandab.

“Jadi, saya rasa dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kita akan mengenal pasti negara yang mempunyai keupayaan untuk menyokong inisiatif itu, kemudian barulah kita akan bekerja secara langsung dengan tentera untuk menentukan keupayaan spesifik yang menyokongnya,” jelas laporan itu.

Beberapa kapal tangki minyak menjadi sasaran serangan berhampiran perairan Teluk Parsi bulan lalu, tindakan mencurigakan yang didakwa AS dan Arab Saudi didalangi oleh Iran.

Teheran menafikan tuduhan penglibatan negara itu sebagai tidak berasas dan menyatakan kejadian di Laut Oman itu sebagai perbuatan ‘false flag’ (tangan ghaib) yang berniat untuk memerangkap negara itu.

Hubungan antara AS dan Iran agak tegang sejak Washington keluar dari perjanjian nuklear Iran 2015, Mei tahun lalu dan memuncak selepas Teheran menembak jatuh dron Amerika pada 20 Jun lalu selepas didakwa menceroboh ruang udara Iran.

Lapor wartawan al-Jazeera, John Hendren, Presiden AS, Donald Trump mendakwa negara itu tidak akan membayar operasi tentera perikatan tersebut kerana ia merupakan pasukan tentera antarabangsa.

“Namun langkah itu membayangkan potensi konflik terbaharu dengan Iran tidak lama selepas AS hampir melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran,” kata Hendren.–AGENSI