Persoalan yang timbul ialah kerajaan Arab Saudi tidak bertindak secara agresif bagi memastikan remaja berkenaan dibawa pulang sebaliknya ‘membiarkan’ Rahaf menerima suaka di Kanada.

Menurut artikel yang ditulis oleh Areej Aljahani dalam portal Saudi Gazette, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah cara Kedutaan Arab Saudi mengendalikan isu terbabit dari awal.

Kedutaan Arab Saudi di Thailand di mana Rahaf ditahan dilaporkan tidak mengendalikan kes berkenaan dengan baik seperti yang diharapkan sekali gus berulangnya senario penafian dan penolakan selepas insiden pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi di Turki.

Banyak jabatan kerajaan Arab Saudi dipercayai sengaja meletakkan negara itu dalam situasi tidak selesa di hadapan komuniti antarabangsa disebabkan kelemahan mereka mengendalikan pengurusan krisis.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi seperti dipetik oleh laman berita Sabaq baru-baru ini, gadis terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok kerana melanggar undang-undang negara itu.

Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa pihak kedutaan tidak langsung melantik peguam untuk mengikuti perkembangan terbabit? Mengapa pihak kedutaan tidak terlibat sebagai orang tengah bagi melindungi Rahaf?

Selain itu, mengapa pihak kedutaan tidak menjalankan tanggungjawab sosial untuk menjaga rakyatnya sendiri yang berada dalam tekanan di negara asing?

Jurucakap kedutaan memaklumkan kepada Sabaq bahawa wanita itu mungkin dipukul dengan teruk dan mereka tidak tahu lebih lanjut daripada itu.

Lapor agensi berita Al-Arabiya, kedutaan Arab Saudi malah menyifatkan isu tersebut sebagai masalah dalaman keluarga.

Adakah kedutaan Arab Saudi mempunyai sebab tersendiri untuk tidak berdiri di belakang Rahaf? Mengapa pegawai kedutaan tidak tampil di hadapan Rahaf dan berkata: “Jangan risau, kami akan berada di sisi awak sehingga awak selamat?”

Ini merupakan peluang terbaik melindungi gadis tersebut daripada bahaya di negara asing dan menghentikan agenda jahat terhadap Arab Saudi.

Cara terbaik untuk mengendalikan kes seperti Rahaf adalah mengaktifkan pengurusan krisis dan melatih jurucakap yang boleh bercakap bagi pihak Arab Saudi serta memahami bagaimana untuk menangani masalah berkenaan.

Ini kerana, terdapat perbezaan ketara apabila seseorang berkata: “Ini adalah isu keluarga” atau “Dia adalah rakyat Arab Saudi dan kami perlu menyokong dia.”

Justeru, Riyadh perlu memperbaiki pengurusan krisis negara itu yang hanya mendorong golongan oportunis untuk menyerang Arab Saudi walaupun kes itu merupakan permasalahan keluarga.

Media antarabangsa khasnya dilihat terjerumus ke dalam perangkap fakta palsu dan maklumat mengelirukan tentang situasi sebenar wanita di Arab Saudi yang mencatatkan kemajuan memberangsangkan sejak dua tahun lalu.

Wanita Arab Saudi seharusnya bersyukur apabila Putera Mahkota, Mohammed bin Salman memperkenalkan beberapa pembaharuan yang menyebelahi golongan wanita seperti membenarkan mereka memandu kenderaan dan memasuki stadium sukan di bawah dasar pemodenan negara itu.

Sebarang permasalahan seharusnya dirujuk pada saluran yang betul dan Riyadh perlu segera bertindak sekiranya kes itu mendapat liputan meluas masyarakat antarabangsa bagi memperbetulkan tanggapan masyarakat tentang situasi sebenar di Arab Saudi.