Tarif bernilai AS$34 bilion (RM137.6 bilion) yang dikenakan pentadbiran Pre­siden AS, Do­nald Trump terhadap import China dijangka berkuat kuasa pada Jumaat ini iaitu pada hari sama selepas waktu tengah hari di Beijing.

Trump mengancam melu­as­kan perang perdagangan itu dengan mengenakan tarif sebanyak AS$450 bilion (RM1.8 trilion) terhadap barangan China jika Beijing bertindak balas, sekali gus bakal menjejaskan pasaran kewangan, mata wang dan komoditi dunia daripada kacang soya hinggalah arang batu.

China berkata, negara itu tidak akan menjadi orang yang pertama memulakan perang perdangan itu tetapi agensi kastam negara itu hari ini dalam kenyataan ringkas memaklumkan tarif China terhadap barangan AS akan berkuat kuasa serta merta selepas AS menguat kuasakan tarif ke atas barangan negara komunis itu.

Jurucakap Kementerian Per­dagangan China, Gao Feng da­lam sidang akhbar mingguan memberi amaran bahawa cadangan tarif AS akan menjejaskan rangkaian bekalan antarabangsa termasuk syarikat-syarikat asing dalam negara ekonomi kedua terbesar di dunia.

Katanya, pelaksanaan tarif AS itu sebenarnya menambah lagi pengenaan tarif terhadap syarikat-syarikat dari kesemua negara termasuk syarikat China dan AS.

“Sekiranya AS mengenakan tarif, AS sebenarnya menyerang bekalan dan nilai rangkaian global. secara mudahnya, AS berperang dengan dunia termasuk negaranya sendiri,’’ katanya yang dilaporkan portal Channel News Asia.

Feng menegaskan China tidak akan tunduk terhadap ancaman dan ugutan malah tidak akan merasa goyah dalam mempertahankan perdagangan bebas dan sistem pelbagai hala.

Dalam perkembangan sama, negara-negara Eropah juga menyatakan keengganan untuk menyebelahi mana-mana pihak.