Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal PLOS One pada Rabu lalu.

Menurut kumpulan penyelidik terbabit, burung kakak tua mempunyai bahagian pipi yang licin dan tidak dilindungi oleh bulunya.

Penyelidik mendapati kulit cerah pada haiwan tersebut akan menjadi kemerah-merahan ketika berinteraksi dengan penjaganya.

“Burung tidak mempunyai otot pada bahagian muka. Eks­presi wajah burung tidak pernah dikaji,” jelas penyelidik utama kajian tersebut, Aline Bertin dari INRA, sebuah institut penyelidikan bagi sains pertanian.

Kebiasaannya, pemilik yang menjaga burung kakak tua akan menyedari bahagian pipi haiwan itu akan kemerah-merahan disebabkan dengan aliran darah yang meningkat, sama seperti manusia.

Tetapi mereka masih perlu mendokumentasikan fenomena tersebut.

Eksperimen berkenaan dibatasi oleh saiz kajian yang kecil iaitu melibatkan lima ekor burung da­ripada spesies terbabit.

Oleh itu, para saintis tidak dapat menyatakan dengan jelas mengapa burung-burung itu kelihatan seperti kemerah-merahan pada bahagian muka.

“Kami tidak tahu sama ada burung ini boleh merasakan emosi positif,” kata Bertin.

Jelasnya, penyelidikan boleh membuka ruang untuk lebih banyak eksperimen yang bertujuan memahami ‘perasaan’ burung. – AFP