Jakarta Post melaporkan, ketiga-tiga mereka, Adin Okta Triqadafi, Satrio Wiradinata Riady Boer dan M. Rikza Mau­lana menggelarkan rekaan mereka itu sebagai Deoterions, singkatan kepada ‘pengesan titik kedudukan yang saling berkaitan’.

Menurut mereka, cetusan idea untuk menghasilkan peranti berkenaan adalah disebabkan oleh kekerapan bencana gempa bumi yang berlaku di negara ini.

“Tujuan Deoterions adalah untuk mempercepatkan usaha menyelamat mangsa dengan mengesan kedudukan mereka di bawah runtuhan bangunan,” kata M. Rizka.

Adin Okta pula membe­ritahu, sehingga kini tiada lagi teknologi yang dapat digunakan bagi membantu mencari mangsa gempa bumi dan pasukan penyelamat terpaksa bergantung kepada penggunaan jentolak, anjing pengesan dan jeritan mangsa.

Deoterions yang bersaiz seperti sekeping kad kredit, perlu dimiliki terlebih dahulu oleh seseorang, sama ada dilekatkan pada telefon bimbit atau disimpan dalam dompet.

Peranti berkenaan boleh menghantar isyarat frekuensi radio sejauh 10 kilometer.

Isyarat itu boleh diterima oleh pengguna yang lain.

“Mangsa tidak perlu meng­aktifkan peranti itu, pengguna lain boleh mengaktifkannya.

“Pancaran isyarat berwarna hijau yang berkelip akan terpapar pada skrin telefon bimbit mereka dan sekiranya kelipan pancaran itu menjadi semakin cepat, ini bermakna mereka sudah hampir dengan kedudukan mangsa,” jelas Adin Okta.

Peranti itu juga mampu menentukan tahap keadaan mang­sa.