Lapor Mail Online, Sun, 35, ditemukan mati oleh teman wanitanya di pangsapuri lelaki itu yang terletak di Hefei, wilayah Aunhui.

Lelaki tersebut yang merupakan pengacara DouYu, platform penstriman secara langsung terbesar di China, merakam detik kematiannya dengan meminum alkohol, makan lipan, cicak gecko dan cacing, kelmarin.

Menurut laporan Xinan Evening News, akaun Sun di DouYu diikuti hampir 15,000 orang dan lelaki itu menjadi pengacara sesi penstriman langsung pada setiap malam.

Bagi mendapatkan lebih banyak pengikut, Sun akan memutar papan tertera beberapa barangan termasuk lipan, cicak gecko, cacing, cuka, telur, bir dan baijiu (sejenis minuman keras) sebelum memakan atau minum barangan tersebut.

Sesi terakhir penstriman secara langsung lelaki itu dibuat Khamis lalu pada pukul 7.53 malam.

Dalam pada itu, polis berkata, mereka menemukan lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tanpa sebarang tanda di dalam biliknya.

Polis juga menemui beberapa bahan makanan yang digunakan ketika sesi penstriman itu dan menolak kematiannya disebabkan jenayah namun masih menyiasat punca kematian. – AGENSI.