JAKARTA 10 Feb. - Kemasukan bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok ke dalam Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dilihat membawa kesan positif dan negatif kepada gandingan Jokowi Widodo (Jokowi)-Ma’ruf Amin.
IDN Times melaporkan, Pengarah Eksekutif Political Review Indonesia, Ujang Komaruddin berkata, salah satu kesan kemasukan Ahok adalah mengurangkan sokongan kepada pasangan calon nombor satu berkenaan.
“Jika dia (Ahok) turun padang dan berkempen, pengundi Islam akan menolaknya.
“Kemungkinan ini akan menguntungkan calon nombor dua, gandingan Prabowo Subianto-Sandiaga Uno,” katanya.
Beliau menambah, Ahok juga masih dianggap sebagai penista agama meskipun sudah tamat menjalani hukuman penjara baru-baru ini.
“Bagaimanapun, Ahok dapat digunakan untuk berkempen kepada bukan Islam.
“Jadi tidak hairan ketika Ahok bercuti di Bali, dia mendekati tokoh-tokoh PDI-P di sana,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ujang memberitahu, langkah Ahok menyertai PDI-P merupakan pilihan rasional.
“PDI-P merupakan parti nasional yang sangat terbuka umpama sebuah perahu besar yang dapat berlayar sampai bila-bila.
“Saya fikir Ahok bukan untuk digunakan bagi berkempen buat ketika ini tetapi pada masa hadapan. Mungkin untuk menjadi ketua daerah atau pilihan raya Legislatif (Pileg) kelak,” katanya.