Firma keselamatan siber, Symantec memaklumkan pihak­nya menyedari kempen tersebut pada Januari lalu walaupun telah memantau kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Thrip sejak tahun 2013.

Tahun ini, Symantec telah mengesan ‘perisian malware (pe­rosak) berkuasa tinggi’ di Asia dan percaya penggodam terbabit akan melancarkan operasi intipan dan serangan.

Situasi itu wujud ketika ke­tegangan berlaku antara China dan AS berhubung isu keselamatan siber.

Pada Isnin lalu kumpulan Senator AS mengundi untuk membatalkan perjanjian perdagangan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang mahu menyelamatkan syarikat telekomunikasi gergasi China ZTE.

Tindakan itu berikutan kebimbangan ahli Parlimen tentang dakwaan bahawa Beijing boleh menggunakan syarikat teknologi untuk melancarkan operasi intipan di AS, lapor portal South China Morning Post.

Sementara itu Symantec mendakwa, tindakan Thrip menumpukan serangan kepada operator komunikasi satelit menunjukkan mereka bukan hanya berminat mencuri data tetapi lebih daripada itu.

“Kumpulan ini dilihat lebih menjurus kepada menyerang operasi syarikat apabila menumpukan kepada perisian komputer yang ditugaskan memantau dan mengawal satelit,’’ lapor syarikat itu melalui blog.

Lapor Symantec lagi, serangan sofistikated itu yang bergantung kepada perisian malware atau perosak khusus dan juga apa yang biasa digunakan oleh penggodam komputer berasal dari China.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Greg Clark berkata, penggodam tersebut beroperasi secara senyap, memasuki jaringan dan hanya boleh dikesan menggunakan kepintaran buatan (AI) yang boleh mengenal pasti dan menanda pergerakan mereka.

“Kami bersiap sedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani ancaman serius ini,’’ katanya.