Pengumuman AS berkenaan memburukkan lagi krisis kewa­ngan yang ditanggung oleh agensi berusia 68 tahun itu dan meningkatkan lagi ketega­ngan dengan pemimpin Palestin ketika Perdana Menteri Israel, menyambut baik langkah AS itu.

Di Gaza, seorang bapa kepada lapan orang anak, Nashat Abu El-Oun berkata, situasi itu amat buruk dan akan menjadi teruk.

“Penduduk agak sukar mene­ruskan kehidupan pada hari ini dan jika mereka tidak mampu menampung kehidupan, mereka akan mula berfikir untuk mela­kukan perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya.

UNRWA memberikan ban­tuan kepada kira-kira lima juta penduduk dan pelarian Pa­lestin di Jordan, Le­banon, Syria, Tebing Barat dan Gaza.

Mereka kebanyakannya adalah keturunan kira-kira 700,000 penduduk Palestin yang diusir dari rumah mereka semasa perang 1948 yang membawa kepada penubuhan Israel.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert berkata, operasi amalan fiskal dan model perniagaan UNRWA merupakan operasi yang cacat teruk dan agensi itu memang tidak dapat menampung kumpulan penerima manfaat yang meningkat secara mendadak dan berterusan.

UNRWA bagaimanapun menolak kritikan itu dengan jurucakapnya, Chris Gunness menyifatkannya sebagai desakan untuk kestabilan serantau.

Bercakap di Jordan, di mana lebih dua juta pelarian Palestin berdaftar tinggal termasuk 370,000 di 10 kem pelarian, Gunness berkata, pihaknya amat menyesali keputusan itu dengan kumpulan serba kekurangan, terpinggir dan terdedah kepada bahaya di planet ini kemungkinan besar menderita.

Gunness berkata, UNRWA me­nyediakan klinik kesihatan, sekolah bagi 526,000 kanak-kanak pelarian serta bantuan makanan kepada 1.7 juta orang dengan satu juta daripada mereka di Gaza.

Agensi itu yang mengalami kekurangan dana sebanyak AS$217 juta (RM891 juta) kini akan meminta individu dan negara penderma menghulurkan lebih banyak sumbangan selain mencari sumber pendapatan baharu.

Dalam pada itu, jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeneh menyifatkan langkah Amerika itu sebagai serangan ke atas hak asasi rakyat Palestin.

“Ia tidak menyokong keamanan, sebaliknya menguatkan lagi keganasan di rantau ini,” katanya.

Nabil berkata, pemimpin Pa­lestin mempertimbangkan untuk membuat rayuan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mendepani pendirian AS itu.

“Keputusan itu yang mencabul kesemua resolusi perundangan antarabangsa memerlukan PBB untuk membuat pendirian tegas terhadap keputusan AS dan membuat keputusan bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Ero­pah semalam menggesa Amerika mempertimbangkan semula ke­putusan yang amat dikesali itu dan menegaskan akan kepentingan meneruskan sokongan antarabangsa terhadap UNRWA yang mengendalikan persekolahan buat ratusan ribu kanak-kanak Palestin. – AGENSI