Stesen televisyen BBC melaporkan, sebanyak 50,000 pos pe­ngundian dibuka di seluruh United Kingdom (UK) mulai pukul 7 pagi ini waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) dan ditutup pukul 10 malam (6 pagi waktu Malaysia).

Selain 650 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, pengundi turut memilih ahli majlis perbandaran apabila lebih 9,000 kerusi dipertandingkan dalam 279 pemilihan kerajaan tempatan selain pemilihan Datuk Bandar di Bedford, Copeland, Leicester, Mansfield, Middlesbrough, dan Torbay.

Menurut tinjauan pendapat ICM untuk akhbar The Guardian, Parti Buruh mendahului tipis sokongan dengan 35 peratus, diikuti Parti Konservatif yang memperoleh 34 peratus.

Parti Kemerdekaan UK (UKIP) pimpinan Nigel Farage menerima 11 peratus undian, disusuli Parti Liberal Demokrat (9 peratus), Parti Nasionalis Scotland (5 peratus), dan Parti Hijau (4 peratus).

Keputusan penuh bagaimanapun akan diumumkan pada waktu 12 tengah malam waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia) esok dengan keputusan terakhir dikeluarkan selewat-lewatnya petang esok.

Berdasarkan tinjauan pendapat sehari sebelum pilihan raya, sukar untuk mana-mana parti bertanding memperoleh kemenangan mutlak.

Penganalisis politik meramalkan, kerajaan baharu Britain bakal dibentuk menerusi pakatan beberapa buah parti, sama seperti lima tahun lalu.

Buat masa ini, Cameron mahupun Miliband masing-masing masih mempunyai peluang menjadi Perdana Menteri, bergantung kepada pakatan yang dibentuk bersama sekutu masing-masing.

Undian melalui pos telah dilakukan semalam melibatkan 15 peratus pengundi pada Pilihan Raya Umum 2010 dengan jumlah keseluruhan keluar mengundi adalah sebanyak 65 peratus.

Pilihan raya kali ini juga buat pertama kali membolehkan rakyat mendaftar sebagai pengundi dalam talian. – REUTERS