David Aguilar, 19, penuntut kejuruteraan di Universitat Internacional de Catalunya, Sepanyol, telah menggunakan model keempat prostetik berwarna-warni dan impiannya adalah untuk rekaan anggota robotik yang berpatutan bagi mereka yang memerlukannya.

Setiap versi terbaharu rekaannya mempunyai keupayaan pergerakan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

“Ketika kanak-kanak, saya sangat gementar berada di depan orang ramai, kerana saya berbeza, tetapi itu tidak menghalang saya mempercayai impian.

“Saya mahu melihat diri depan cermin seperti saya melihat orang lain, dengan dua tangan,” katanya yang ber­asal dari Andorra.

Semua versi rekaan dipamerkan di biliknya di penginapan universiti dan model terbaharu ditanda dengan huruf MK diikuti nombor siri sebagai penghormatan kepada buku komik adiwira Iron Man.

Aguilar menggunakan ke­pingan Lego, melahirkan rasa bangga memperlihatkan le­ngan robotik berwarna merah dan kuning, yang diciptanya ketika berusia 18 tahun.

Video persembahan di saluran YouTube miliknya mengatakan matlamatnya adalah untuk menunjukkan kepada orang bahawa tiada sesuatu yang mustahil dan kekurangan bukan penghalang segala-galanya.

Selepas tamat pengajian di universiti, beliau ingin mencipta penyelesaian prostetik yang berpatutan untuk orang kurang upaya.

“Saya berazam untuk memberi mereka lengan prostetik, walaupun secara percuma, supaya mereka dapat merasakan hidup seperti orang biasa,” tambahnya. – REUTERS