Bangladesh merancang untuk memindahkan kira-kira 100,000 daripada hampir sejuta pelarian Rohingya yang berlindung di Cox’s Bazar ke pulau terpencil di Bhasan Char.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang merancang untuk membantu Bangladesh dengan langkah itu, lapor Reuters minggu lalu.

Bagaimanapun PBB dalam satu kenyataan hari ini menggesa penilaian semula dan badan itu sedang berbincang mengenai perlindungan kritikal dan isu-isu operasi sebelum pemindahan tersebut dilakukan.

Menteri Dalam Negara (Pengurusan Bencana dan Bantuan), Enamur Rahman berkata, pihaknya akan bergerak lebih pelahan dalam soal pemindahan tersebut kerana tiada tarikh tepat untuk berpindah.

“Kami tidak tergesa-gesa dan hanya akan bermula apabila semua badan PBB dan pelarian Rohingya merasakan kawasan tersebut sudah sedia,” ujarnya. -AGENSI