Bintang politik yang semakin menyinar itu berdepan tiga pertuduhan, melanggar Perkara 116 Kanun Keseksaan Thailand (menyamai hasutan); Perkara 189 kerana membantu pihak lain yang melakukan jenayah serius; dan Perkara 215 kerana mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram.

Beliau berdepan hukuman penjara sembilan tahun jika didapati bersalah. Jutawan alat ganti kenderaan itu, yang berusia 40 tahun, akan dibicarakan di mahkamah tentera.

Future Forward Party, yang berorientasikan belia, mencatatkan pencapaian memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum 24 Mac lepas dan memenangi 6.2 juta undi serta 30 kerusi pilihan raya.

Thanathorn diperintah hadir ke balai polis Pathumwan untuk mendengar pertuduhan terhadapnya. Beliau menafikan ketiga-tiga pertuduhan itu dan akan mengemukakan keterangan bertulis kepada polis sebelum 15 Mei ini.

Ketika ditemui media di luar balai polis itu, Thanathorn berkata pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik.

“Pengaturan masa ini bukanlah suatu kebetulan* hanya seminggu selepas pilihan raya.

“Saya bimbang kerana kes ini akan dibicarakan di mahkamah tentera dan bukan di mahkamah jenayah* saya tidak tahu kenapa. Ini agak mengganggu.

“Saya tegaskan saya tidak bersalah. Saya sedia menegaskan pendirian ini dalam prosiding mahkamah,” katanya.

Terdahulu, beratus-ratus penyokong Future Forward Party berhimpun di luar balai polis dan bersorak ‘Teruskan Berjuang, Thanathorn’ di samping ada yang mengangkat sepanduk “#SaveThanathorn”.

Wakil kedutaan dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah, Jerman, Perancis dan New Zealand turut berada di lokasi.

Thanathorn juga berdepan pertuduhan jenayah siber berasingan berhubung komen yang dibuatnya dalam Facebook pada Julai.

Future Forward Party menyertai gabungan ‘barisan demokratik’ diketuai Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang berusaha menubuhkan kerajaan Thai baharu. - BERNAMA