Daily Mail melaporkan, terbaharu, seorang wanita, Kellymary Fauvrelle, 26, yang sarat me­ngandung lapan bulan maut ditikam di kediamannya di Raymead Avenue, Thornton Heath semalam, sekali gus menjadi mangsa ke-64.

Biarpun begitu, pasukan para­medik sempat menyelamatkan kandungan Fauvrelle namun bayi malang itu berada dalam keadaan kritikal di hospital.

KELLYMARY FAUVRELLE
KELLYMARY FAUVRELLE 

Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Polis tidak mendedahkan identiti suspek.

Datuk Bandar London, Sa­diq Khan menerusi Twitternya menulis: “Keganasan terhadap wanita tidak mempunyai tempat di bandar ini, namun inilah masalah yang kita sedang hadapi ketika ini.”

Beliau seterusnya berkata: “Saya amat bersimpati dengan nasib bayi tersebut dan ibunya yang menjadi korban individu tidak bertanggungjawab.”

Menurut seorang jiran Fauv­relle, dia terdengar bunyi salakan anjing pengesan milik polis di rumah mangsa pada pagi semalam.

“Kami kemudiannya terde­ngar bunyi jeritan dan melihat pasukan polis serta paramedik bergegas ke rumah tersebut. Tidak lama kemudian, kelihatan seorang wanita keluar dari rumah itu sebelum rebah di atas jalan,” katanya.

Fuavrelle yang suka me­nunggang motosikal sebelum itu berkongsi imej imbasan ba­yinya pada Februari lalu dengan kapsyen: “Nampaknya aktiviti menunggang motosikal tahun ini terpaksa ditangguhkan.”.

Dalam pada itu, Ketua Detektif, Inspektor Mick Norman turut melahirkan rasa sedih dan simpati atas insiden yang berlaku.

Terdahulu, Yusuf Mohamed menjadi mangsa pembunuhan ke-63 di bandar raya ini apabila dia ditikam di sebuah kawasan di Sherpherd Bush pada Rabu lalu.

Kota London menutup tirai 2018 dengan jolokan ‘tahun berdarah’ dalam tempoh sedekad apabila menyak­sikan lebih 130 kes pembunuhan berlaku di seluruh ibu kota ini.

Kira-kira 134 kes jenayah pembunuhan melibatkan senjata tajam dan senjata api disiasat pasukan polis London, Scotland Yard sepanjang tahun dan jumlah tersebut merupakan yang ter­tinggi sejak 2008.