Ketika mesyuarat Jawatankuasa Kelab Angkasa Kebangsaan Florida baru-baru ini, bekas juruterbang kapal angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Tony Antonelli menjelaskan, konsep pembinaan ‘pangkalan kem Marikh’ mungkin menjadi kenya­taan seawal 2028.

Beliau yang juga Ketua Tek­nologi Penerokaan Angkasa Lock­heed Martin berkata, firma tersebut sememangnya tidak menunggu sebarang bentuk ‘ma­gik’ untuk mencapai matlamat berkenaan, sebaliknya kapal angkasa ke planet itu akan menggunakan teknologi sedia ada.

“Ini semua boleh dilakukan dalam tempoh 10 hingga 12 tahun akan datang. Apa yang perlu kita lakukan ialah membuat keputusan bersama merangkumi kerajaan, industri selain penyertaan antarabangsa.

“Misi ini adalah misi manusia sejagat dan memerlukan soko­ngan semua pihak,” katanya se­perti dilaporkan oleh Daily Mail.

Lockheed Martin mendedahkan penyertaan dalam perlumbaan ke Marikh baru-baru ini ketika Sidang Kemuncak Manusia ke Marikh di Washington.

Firma itu menjelaskan, angkasawan yang mengorbit Marikh boleh melakukan pengembaraan saintifik secara masa nyata.

Mereka akan menganalisis sampel batu dan tanah di Marikh selain mengesahkan tempat yang sesuai untuk mendaratkan manusia di permukaan planet tersebut.

Baru-baru ini, NASA menyatakan hasrat untuk mengembara Marikh pada 2030.

“NASA ada perancangan untuk mengorbit Marikh. Kami (Lockheed Martin) akan ‘mewarnai’ butiran perancangan itu,” kata Antonelli.

Jelasnya, Lockheed Martin akan menggunakan kapal angkasa Orion sebagai pusat ‘kawal dan perintah’ dan dilengkapi teknologi bagi membantu angkasawan meneroka Marikh dan hidup untuk 1,000 hari.

Dalam pada itu, firma ber­kenaan sedang membangunkan ‘habitat angkasa’ berdasarkan reka bentuk semasa NASA yang akan menyediakan kedua-dua ruang kehidupan di angkasa serta ruang kerja untuk angkasawan.

Mengikut perancangan, kapal angkasa tanpa manusia akan dilancarkan tahun depan dan bakal disusuli misi ke Marikh kira-kira lima tahun kemudian.

Sementara itu, selain NASA dan Lockheed Martin, perlumbaan ke Marikh akan turut disaingi oleh Pusat Pentadbiran Angkasa China (CNSA) yang merancang ‘menakluk’ planet tersebut pada 2021.