LONDON 29 Ogos - Perdebatan tentang sikap pemandu wanita lebih teruk berbanding pemandu lelaki sejak berdekad lalu mungkin sudah sampai penghujungnya apabila kajian membuktikan bahawa wanita sebenarnya adalah pemandu yang lebih berhemah berbanding lelaki.
Mail Online melaporkan, lelaki adalah empat kali lebih cenderung terlibat dalam kes mahkamah akibat jenayah di atas jalan raya dan dua kali ganda berkemungkinan untuk membuat tuntutan insurans.
Ini ditunjukkan oleh fakta bahawa lelaki di England membayar sebanyak 92 pound (RM485) setahun berbanding wanita dalam insurans mereka.
Menurut portal perbandingan, Confused.com dalam laporan mereka berkata, purata premium bagi wanita adalah 701 pound (RM3,702) manakala lelaki membayar sebanyak 793 pound (RM4,188).
Pendedahan itu dibuat berikutan undang-undang Kesatuan Eropah (EU) yang diperkenalkan pada 2012 melarang diskriminasi jantina oleh syarikat insurans.
Angka rasmi mendedahkan bahawa sebanyak 585,000 pemandu di England dihadapkan ke mahkamah tahun lalu akibat kesalahan kenderaan dengan laan daripada 10 kes adalah lelaki, sekali gus mengatasi wanita dengan nisbah empat berbanding satu.
Sebanyak 23 peratus daripada kesalahan melibatkan lelaki adalah memandu laju, jauh lebih tinggi berbanding wanita dengan hanya tujuh peratus.
Lelaki juga mengatasi wanita dengan nisbah lima berbanding satu akibat kesalahan minum minuman keras semasa memandu dan dua kali ganda memandu tanpa cukai mahupun insurans.
Malah, pemandu lelaki mengakibatkan syarikat insurans membayar lebih banyak wang apabila melibatkan soal tuntutan insurans, mengandaikan mereka terlibat dengan lebih banyak kemalangan berbanding wanita.
Pada 2017, dua daripada tiga tuntutan insurans dibuat oleh lelaki, dengan 17 peratus adalah tuntutan kesalahan. Sebagai perbandingan, hanya satu daripada tiga tuntutan tahun lalu dibuat oleh wanita dengan 9 peratus daripadanya bersalah.
Amanda Stretton dari Confused.com berkata, sebagai pemandu kereta lumba wanita, dia tahu wanita boleh mengawal diri ketika memandu dan data mencadangkan bahawa mereka sebenarnya lebih selamat di jalan raya.
Laporan itu juga mendapati, lelaki lebih cenderung mempunyai tabiat buruk semasa memandu.
Sebagai contoh, hampir satu dalam empat responden mengaku tidak menyalakan lampu isyarat semasa menukar laluan, berbanding kira-kira satu daripada enam wanita.