Suhu yang semakin me­ningkat akan merangsang selera dan boleh menyebabkan serangga perosak membiak dengan cepat sekali gus mengancam ta­naman utama seperti gandum, jagung dan beras.

Ketiga-tiga tanaman ter­­sebut menguasai 42 peratus kalori yang dimakan penduduk dunia dan kekurangan bekalannya dapat menimbulkan rasa tidak selamat dan konflik makanan, terutama di kawasan yang lebih miskin.

“Apabila cuaca semakin panas, metabolisme seranga perosak meningkat dan memakan lebih banyak makanan. Situasi ini sangat tidak baik untuk tanaman,” kata Penyelidik University of Vermont, Scott Merrill, seorang penyelidik di Universiti Vermont yang terlibat dalam kajian tersebut.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science itu merupakan kesinambungan kajian terdahulu tentang bahaya pemanasan global terhadap tanaman dengan menumpukan per­hatian kepada selera makan hama seperti aphid dan borer.

Penyelidik menjalankan simulasi untuk mengesan perubahan metabolisme yang didorong oleh suhu dan kadar pertumbuhan untuk 38 spesies serangga dari latitud berlainan.

“Secara keseluruhan, kehilangan hasil bijian glo­bal ini dijangka meningkat sebanyak 10 hingga 25 pe­ra­tus setiap tahap pemanasan permukaan.

“Di Perancis atau di utara AS, kebanyakan se­rangga itu akan mempunyai pertumbuhan populasi yang lebih cepat jika suhu meningkat sementara di Brazil, Vietnam atau tempat yang lebih panas, perkara sebaliknya berlaku,” kata penyelidik di University of Washington Curtis Deutsch yang mengetuai kajian itu.

Perancis akan kehila­ngan kira-kira 9.4 peratus tanaman jagung akibat dimakan serangga perosak jika suhu dunia meningkat lebih 2 darjah Celcius berbanding kira-kira 6.6 peratus kehilangan hasil tanaman kini.

Eropah yang menjadi rantau pengeluar gandum paling produktif di dunia pula dijangka berdepan kerugian hasil tanaman tahunan mencecah 16 juta tan akibat masalah sama.

Sebanyak 11 negara Eropah dijangka mengalami kerugian tanaman gandum melebihi 75 peratus sementara AS yang merupakan pengeluar jagung terbesar dunia akan berdepan kekurangan bekalan mele­bihi 20 tan akibat pemanasan iklim semasa. – AFP