Menurut portal Oddity Central, segalanya bermula pada 1989 apabila pasangan terbabit, Chen Tianwen dan isterinya Guo Gairan dari kampung Zhuangxi, wilayah Shanxi menemukan seorang bayi yang dibuang dan mengambil keputusan untuk membesarkan anak kecil tersebut.

Sejak itu, Tianwen dan Gairan sering mencari kanak-kanak terbiar untuk dijaga selain menerima golongan kecil terbuang dari Biro Hal Ehwal Awam tempatan kerana tiada institusi kebajikan pada masa tersebut.

Kini pada usia 60-an, pasangan terbabit tidak pernah berputus asa untuk menggalas tugas menjaga kebajikan lebih 40 anak yatim dan tiga anak mereka sendiri.

Apabila sejumlah kanak-kanak meningkat dewasa, Gairan terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja di sebuah kilang tempatan bagi meluangkan sepenuh masa menjaga mereka dan menyewakan tanah milik keluarganya sebagai sumber pendapatan.

Malah, situasi semakin baik buat Tianwen dan Gairan apabila mereka menerima bantuan awal daripada kerajaan tempatan sebanyak 150 yuan (RM87) sebulan bagi setiap anak yatim berkenaan dan jumlah bantuan itu bertambah kepada 1,000 yuan (RM585).

Cabaran terbesar pasangan itu adalah pandangan serong jiran yang enggan membenarkan anak mereka bergaul dengan anak-anak yatim yang dijaga oleh Tianwen dan Gairan.

Namun kini cabaran tersebut berjaya diatasi apabila usaha baik mereka berdua diterima oleh penduduk kampung sebagai model rakyat.

“Akhirnya orang ramai tidak lagi memandang kami sebagai orang yang bodoh kerana sanggup menghabiskan masa menjaga anak yatim yang kurang upaya.

“Kerja kami dipandang mulia dan dijadikan sebagai contoh kepada masyarakat umum,” kata Gairan.