Lapor portal news.com.au memetik seorang sumber di konsulat Malaysia sebagai berkata, ramai rakyat Malaysia dihalang daripada menaiki pesawat walaupun mempunyai visa pelancong yang sah.

“Mereka menelefon kami mengharapkan kami boleh membantu mereka tetapi tiada apa yang dapat kami lakukan kerana halangan itu dibuat oleh pihak berkuasa tempatan,” kata sumber tersebut.

Jurucakap kepada Jabatan Hal Ehwal Dalam Negara Australia mengesahkan Malaysia menduduki tangga teratas untuk kes pembatalan visa, diikuti oleh China, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan India.

Ujarnya lagi, beliau juga menafikan rakyat Malaysia tidak menerima layanan sebaiknya ketika berada di sempadan Australia.

“Australia mengalu-alukan kedatangan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia ke negara ini setiap tahun untuk tujuan pengajian, perniagaan dan melancong, tetapi kami juga mempunyai proses yang ketat bagi memastikan tidak berlaku sebarang eksploitasi dalam sistem visa kami.

“Sebelum berkunjung ke Australia, orang ramai perlu memastikan mereka mempu­nyai jenis visa yang betul,” jelas jurucakap terbabit.

Tambah sumber terbabit, rakyat Malaysia juga dilihat semakin sukar untuk memasuki Australia kerana sejumlah besar daripadanya mendapatkan visa perlindungan berikutan kesulitan ekonomi.

“Kami baru-baru ini me­ngiklankan dua jawatan kosong di konsulat itu dan terdapat banyak rakyat Malaysia yang mempunyai visa perlindungan hadir untuk temu duga.

“Apabila seseorang menerima visa perlindungan Australia, mereka boleh mendapatkan semua kemudahan termasuklah juga hak pekerjaan yang tidak terhad de­ngan serta-merta,” ujar sumber itu.

Dalam pada itu, The Daily Telegraph melaporkan, lebih 64,000 orang melepasi tempoh visa mereka ketika berkunjung ke Australia pada tahun lalu dengan rakyat Malaysia mendahului senarai berkenaan.