Jurucakap bagi Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, penangkapan dan tahanan dibuat Pihak Berkuasa Tunisia terhadap Moncef Kartas ketika beliau melakukan tugas rasmi amat membimbangkan.

Katanya, Kartas ditahan pada 26 Mac lalu bersama 26 yang lain berikutan disyaki ‘mengintip bagi pihak asing’ menurut pihak berkuasa Tunisia.

“Kartas kemudian dibawa menghadap hakim penyiasatan yang memutuskan penahanannya diteruskan pada Khamis lalu.

“Penahanan itu merupakan perlanggaran kepada keistimewaan dan imuniti yang dinikmati Kartas,” katanya.

Tambahnya, PBB telah bertemu dengan kerajaan Tunisia di peringkat tertinggi namun mereka gagal memberikan respons yang memadai. - AFP