Menurut portal berita Al-Jazeera, rang undang-undang itu dijangka dibentangkan di Parlimen dan seterusnya dimasukkan ke dalam Perlembagaan tidak lama lagi.

Penganalisis meramalkan un­dang-undang asas berhubung perkara itu yang diluluskan oleh Jawatankuasa Keadilan Parlimen baru-baru ini bakal membawa perubahan berbahaya kepada Palestin.

Perkembangan baharu tersebut menjadikan ‘parah yang berterusan’ buat Palestin yang sebelum ini berdepan konflik berpanja­ngan dengan rejim Zionis termasuk pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel oleh Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Do­nald Trump.

Aida Touma-Suleiman, seorang anggota Palestin di dalam Parlimen Israel menegaskan, rang undang-undang itu dilihat sebagai tindakan ‘menginstitusikan’ rejim apartheid dengan cara yang paling jelas.

Namun, sama pentingnya dan sebahagian besarnya tidak diperhatikan, undang-undang ber­kenaan membuka jalan kepada rejim Zionis untuk menyatukan serta memperluaskan pencerobohan tanah Palestin di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat termasuk menghalang sebarang tindakan yang bertujuan menghentikan usaha tersebut.

Perubahan besar dan berbahaya yang dibawa oleh rang undang-undang tersebut menyebabkannya telah menjalani proses penggantian yang begitu panjang sejak versi pertama diperkenalkan pada 2011 oleh Avi Dichter, ahli Parti Likud yang dipimpin Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Versi akhir yang diluluskan pada minggu ini menggugurkan status bahasa Arab yang merupakan bahasa ibunda satu per lima penduduk Israel supaya tidak lagi menjadi bahasa rasmi selain bahasa Hebrew.

Perkara itu juga menggalakkan komuniti Yahudi yang menguatkuasakan undang-undang untuk mengusir 1.8 juta rakyat Palestin dari Israel dan mengutamakan hak-hak orang Yahudi di luar negara berbanding rakyat Palestin.

Dalam perkembangan lain, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membantu pelarian Palestin memaklumkan, badan itu menerima ikrar tunai baharu bagi membolehkannya beroperasi selama beberapa bulan, namun memberi amaran tempoh jangka panjang tidak dapat dipastikan.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNWRA) masih mencari dana untuk membiayai kekurangan bajet sebanyak AS$446 juta (RM1.75 bilion), sebahagian besarnya disebabkan keputusan tiba-tiba Trump pada Januari lalu yang membekukan bantuan kepada Palestin.

Satu persidangan dana di Rome menarik janji dari negara seluruh dunia untuk tambahan dana sebanyak AS$100 juta (RM392.70 juta), meninggalkan UNWRA dengan tugas berat memastikan perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan makanan bertahan.

“Satu langkah penting pertama dicapai hari ini, namun jalan masih panjang di hadapan kami. Jika UNWRA tidak wujud, jika khidmatnya tidak disediakan, ke­selamatan Palestin akan terjejas,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.