Operasi memburu itu bakal dilancarkan di wilayah-wilayah barat laut dan barat daya di kawasan pergunungan bersempadan dengan Afghanistan, lapor akhbar berbahasa Inggeris, The News, hari ini.

"Pasukan keselamatan Pakistan akan melancarkan operasi memburu besar-besaran bukan sahaja di Quetta tetapi juga di kawasan yang tidak dikawalnya di Waziristan Utara.

"Tujuannya untuk menangkap Mullah Omar dan doktor kelahiran Mesir, Ayman al- Zawahiri secepat mungkin jika mereka bersembunyi di Pakistan," lapor akhbar itu.

Omar dipercayai memimpin Syura Quetta, badan pembuat keputusan tertinggi Taliban, dari Quetta iaitu ibu kota wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan.

Waziristan Utara dianggap kawasan selamat bagi kumpulan Haqqani yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Amerika Syarikat (AS) telah beberapa kali meminta Pakistan melancarkan operasi untuk menghapuskan rangkaian pengganas.

Keputusan untuk menjejaki kedua-dua orang paling dikehendaki oleh AS itu diambil selepas Pakistan mengalami tekanan hebat kerana gagal menunaikan komitmen untuk memerangi pengganas, dan selepas komando AS membunuh Osama bin Laden awal pagi Isnin lalu di Abbottabad, 60 kilometer ke timur laut Islamabad.

Akhbar tersebut juga memberi amaran, operasi untuk memburu Omar dan al-Zawahiri boleh mencetuskan gelombang baru serangan pengebom berani mati di Pakistan, sekali gus menggugat lagi kestabilan di satu-satunya negara Islam yang memiliki senjata nuklear ini. - dpa