KEADAAN dahi Nong Guang seumpama berkawah selepas suntikan kosmetik yang dilakukannya dua tahun lalu dijangkiti kuman . - metro.co.uk

Menurut portal be­rita metro.co.uk, Nong Guang, 41, menerima suntikan untuk mendapatkan kulit yang tegang dan licin dua tahun lalu.

Namun sejak beberapa bulan lalu, kulit sekitar dahinya tiba-tiba menjadi sangat lembut hingga meninggalkan kesan yang dalam jika disentuh.

Awal bulan ini Guang terpaksa dikejarkan ke sebuah klinik pakar selepas kea­daan wajah­nya bertambah buruk dengan ketulan besar yang amat menyakitkan.

Doktor mengesahkan wajah­nya telah dijangkiti kuman dan terpaksa melakukan pembedahan kecil di bahagian kepala untuk mengeluarkan bahan kosmetik ber­kenaan.

“Ini amat menyakitkan, saya dapat rasa ada ketulan besar di bawah kulit dahi dan paling menakutkan, ketulan itu boleh bergerak dan berubah bentuk apabila ditekan atau di­sentuh.

“Saya merasa sangat lega dan gembira sekarang apabila dahi saya sudah kembali pulih. Saya pasti tidak akan mengulangi pengalaman pahit itu lagi,” jelasnya.

Rakaman video pro­sedur kecemasan di Klinik Teeraporn dekat sini yang menunjukkan detik-detik bagaimana pakar membelah dan menekan dahi Guang untuk mengeluarkan ketulan kosmetik berkenaan turut tular di media sosial.

Ramai yang melihat video tersebut melahirkan rasa takut dan mahu kejadian itu dijadikan pe­ngajaran berguna kepada masyarakat agar lebih berhati-hati ketika mendapatkan suntikan kos­metik.