Lee Spencer, 49, yang sudah bersedia memulakan pelayarannya dengan perahu yang direka khas dari Marina Gibraltar ke La Linea de la Concepcion di selatan Sepanyol bagaimanapun terpaksa menukar lokasi pelepasannya berikutan air pasang dan cuaca buruk di Selat Gibraltar.

Sebaliknya, Spencer yang kudung kaki kanan memutuskan untuk memulakan pelayarannya dari Portimao di selatan Portugal, hari ini.

“Saya gementar, bimbang, teruja dan semuanya bercampur baur. Ini adalah simbolik untuk saya memulakan perjalanan ke Amerika Selatan dari Gibraltar,” katanya kepada pemberita sebelum bertolak ke La Linea de la Concepcion.

Rekod pertama bagi pendayung solo cacat fizikal dicipta pada 2004 oleh Stuart Boreham yang berlepas dari Kepulauan Canary, Sepanyol dan tiba Barbados selepas berlayar selama 109 hari, 12 jam dan sembilan minit.

Spencer bagaimanapun berhasrat mendarat di Cayenne, French Guyana dalam tempoh kurang dari 70 hari kerana dia hanya membawa bekalan makanan untuk 90 hari.

Bekalan makanan itu dapat menampung perjalanan lelaki tersebut sejauh 5,600 kilometer di atas perahu yang dinamakan ‘Hope’.

Jika dia berjaya, bekas tentera laut itu akan memecahkan rekod berdayung solo merentasi Atlantik antara tanah besar Eropah dan Amerika Selatan yang dibuat oleh orang normal.

Spencer yang berkhidmat selama 24 tahun sebagai komando Marin Diraja Britain dan me­nyer­tai tiga operasi di Afghanistan hilang kaki kanannya dari bahagian lutut pada 2014 selepas terkena serpihan ketika membantu mangsa kemalangan,

Dia berharap pelayarannya itu mampu mengubah persepsi tentang OKU serta mengumpul dana untuk badan amal marin diraja dan dana ikhtiar bagi membantu pemulihan anggota tentera Britain yang cedera dan sakit. – AFP