Bagi ‘menghalalkan’ tindakan tersebut, jawatankuasa itu juga membatalkan penglibatan parti Arab iaitu Raam-Balad yang didakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyokong kegiatan keganasan, sekali gus menunjukkan sikap pengecut rejim Zionis apabila tidak mahu meluaskan penguasaan Arab dalam liga politiknya.

Keputusan tersebut juga dijangka memberi cabaran hebat kepada Netanyahu yang sebelum ini terpalit dengan beberapa kes rasuah untuk mempertahankan kedudukannya dalam Parti Likud.

Sehubungan itu, beliau mengambil langkah mengadakan pakatan dengan beberapa parti politik lain termasuk Jewish­ Power bagi meningkatkan peluang kemenangannya dalam pilihan raya tersebut.

Dalam pada itu, parti sayap berhaluan kiri iaitu Maretz menegaskan bahawa mereka bersama Parti Buruh akan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi menentang keputusan yang membenarkan calon-calon Jewish Power bertanding dalam pilihan raya.

Jawatankuasa tersebut juga mengundi 17-10 untuk mengetepikan Raam-Balad daripada pilihan raya itu selaras dengan usul yang difailkan oleh Likud yang dipimpin Netanyahu.

Likud menuduh puak Balad mahu menghapuskan Israel sebagai negara Yahudi dan menyokong kumpulan militan Pa­lestin serta Lebanon.

“Sesiapa yang menyokong keganasan tidak akan dima­sukkan dalam Knesset atau Parlimen Israel,” tulisnya dalam Twitter seperti dilaporkan Reuters.

Raam-Balad yang anggota­nya terdiri daripada bangsa Arab dan pergerakan Islam menyifatkan parti itu berjuang untuk demokrasi dan menentang penjajahan Israel terhadap wilayah Palestin.

Ketika ini, parti tersebut memegang sebanyak lapan daripada 120 kerusi dalam Knesset, manakala calon-calon parti lain yang mewakili 20 peratus bangsa Arab di Israel masih dibenarkan bertanding.

Jewish Power pula tidak memegang sebarang kerusi dalam Knesset susulan tidak berjaya memperoleh undian mencukupi pada sesi pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Raam-Balad, Mansour Abbas menegaskan partinya akan menentang sekatan terbabit dan melakukan rayuan di mahkamah.

“Kami sudah banyak kali berdepan dengan masalah seperti ini (disekat daripada bertanding), namun akhirnya keputusan mahkamah meng­atasi segalanya,” jelasnya.

Mahkamah Tinggi Israel pernah memutuskan Raam-Balad layak bertanding selepas parti itu dibatalkan pada 2009, selain pihak berkuasa Zionis mendakwa dua anggota parti itu kerana didakwa menghubungi kumpulan pergerakan Palestin dan membantu Hezbollah dalam perang Lebanon pada 2006.