Pejabat Perdana Menteri Israel semalam dalam kenya­taannya berkata, perdana menterinya menyifatkan penghantaran sistem senjata canggih ke pihak yang tidak bertanggungjawab akan meningkatkan bahaya di rantau itu.

“Israel akan terus mempertahankan keselamatan dan kepentingannya,” kata pejabat itu selepas perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin.

Pada 17 September lalu, pa­sukan pertahanan udara Syria secara tidak sengaja menembak jatuh sebuah pesawat tentera Rusia ekoran pencerobohan Israel di Syria hingga mengakibatkan 15 orang terbunuh.

Moscow menyalahkan kejadian itu terhadap juruterbang Israel yang menggunakan pesawat Rusia yang besar sebagai ‘perlindungan’.

Rusia mengumumkan langkah keselamatan baharu bagi melindungi tenteranya di Syria termasuk membekalkan tentera Syria dengan sistem pertahanan S-300 dan sistem radar yang dapat mengganggu sistem jet pejuang musuh berhampiran.

Netanyahu memaklumkan kepada Putin bahawa Israel tetap dengan pendiriannya bahawa tentera Syria menjatuhkan pesawat tentera Rusia dan sikap agresif Iran yang menjejaskan kestabilan bertanggungjawab mengakibatkan kejadian itu.

Tambah kenyataan Israel, di sebalik pertikaian itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan dialog antara pasukan profesional dan koordinasi antara tentera melalui saluran ketenteraan. – AFP