Press TV melaporkan, Recep Tayyip menyatakan perkara itu ketika berucap kepada penyokongnya di sini.

“Hei Netanyahu, tolong jaga perangai anda. Anda seorang pemimpin yang kejam kerana sanggup membunuh seorang kanak-kanak Palestin berusia tujuh tahun,” katanya.

BENJAMIN NETANYAHU
BENJAMIN NETANYAHU 

Ucapan keras Recep Tayyip itu dibuat beberapa hari selepas Netanyahu menyifatkan beliau sebagai diktator dan pelawak yang menyumbat golongan wartawan ke dalam penjara.

“Kepemimpinan diktator Presiden Turki menye­rang demokrasi Israel sedangkan banyak wartawan negara itu disumbat ke dalam penjara hanya kerana bersuara menyatakan pandangan mereka,” tulis Ne­tanyahu dalam Instagram.

Ketegangan antara kedua-dua pemimpin sudah bermula beberapa hari lepas apabila Turki menyelar Netanyahu bersikap perkauman secara terang-terangan menentang penduduk Israel berketurunan Arab kerana menyatakan Israel adalah sebuah negara Yahudi dan bukan untuk semua penduduknya.

Semalam, Recep Tayyip pula mengkritik tindakan polis rejim Zionis yang menutup semua pintu masuk ke kompleks Masjid al-Aqsa selain menyerang penduduk Palestin yang ingin menunaikan solat Isyak di luar Bab al-Asbat.

“Jangan lakukan provokasi. Kami tidak menindas mana-mana penduduk Yahudi di negara ini dan kami tidak melakukan apa-apa terhadap tempat ibadat mereka di sini. Jadi, tolong ja­ngan lakukan provokasi kerana kami tidak akan masuk dalam perangkap anda,” tegas beliau kepada Netanyahu.

BUKIT GOLAN: ‘JAJAHAN’ JADI ‘KAWALAN’

Dalam perkembangan lain, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menukar deskripsi berhubung Bukit Golan daripada ‘kawasan jajahan Israel’ kepada ‘kawasan kawalan Israel’ dalam laporan hak asasi manusia glo­bal tahunan semalam.

Tindakan itu dilakukan selepas Israel bertungkus-lumus melobi mendapatkan pengiktirafan AS untuk meluaskan kawalannya di Bukit Golan selepas merampas kawasan tersebut dari Syria dalam perang Asia Barat 1967.

Tiada sebarang kenyataan dibuat oleh pemimpin Israel mahupun AS berhubung terma baharu itu.

Bagaimanapun, di Rama­llah, Nabiel Abu Rudeineh, jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengkritik tindakan AS itu.

Beliau menyifatkannya sebagai ‘kesinambungan pendekatan bermusuhan pentadbiran AS terhadap penduduk Palestin dan bertentangan dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

LAGI PELAN KEDIAMAN HARAM YAHUDI

Selain itu, Kementerian Pembinaan dan Perumahan Israel dijangka mengumumkan pelan pembinaan ratusan unit kediaman baharu untuk penduduk Yahudi di kawasan Tebing Barat menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung pada 9 April ini.

Portal berita Israel melapor­kan, pelan tersebut akan membina sebanyak 700 unit kediaman haram terletak di Baitulmuqaddis dan sudah diluluskan Jawatankuasa Peranca­ngan Pentadbiran Awam Israel.

51 PENDUDUK PALESTIN DITAHAN

Sementara itu, tentera Israel menahan sebanyak 51 penduduk Palestin termasuk golongan wanita dan kanak-kanak dalam beberapa serbuan yang diadakan di Tebing Barat awal pagi semalam.

Menurut Pertubuhan Banduan Palestin (PPS), tentera Zionis juga menahan sembilan penduduk Palestin termasuk wanita di Hebron manakala di tengah Tebing Barat, sebanyak 19 penduduk ditangkap termasuk 17 kanak-kanak perempuan, namun kesemua kanak-kanak dibebaskan selepas itu.

Kumpulan hak asasi tahanan Palestin, Addameer menyatakan bahawa sebanyak 5,440 tahanan di penjara di seluruh Israel termasuk 48 tahanan wanita, 209 kanak-kanak dan 46 daripadanya berusia bawah 16 tahun. – AFP/AGENSI