Penemuan itu dilakukan me­lalui bantuan kamera resolusi tinggi yang dibawa oleh Mars Reconnaisance Orbiter.

NASA memaklumkan pi­hak­nya dapat melihat kendera­an yang dikenali sebagai Opportunity berada di Lembah Perseve­rance, di hujung sebuah kawah yang besar.

Namun NASA mendapati Opportunity tidak menunjukkan sebarang tanda masih ‘bernyawa’.

Opportunity bergerak ke lembah berkenaan semasa ribut debu yang mula dikesan pada 30 Mei lalu dan melanda seluruh kawasan terbabit.

Menerusi imej yang disiarkan NASA, kenderaan itu kelihatan seperti titik putih kecil.

Kali terakhir khabar tentang kenderaan berusia 15 tahun itu diterima ialah pada 10 Jun lalu ketika berada dalam mod ‘tidur’ selepas debu menghalang matahari menyebabkan keadaan gelap gelita di planet Merah.

“NASA masih belum mendengar khabar tentang Opportunity namun sekurang-kurangnya ka­mi boleh melihatnya,” menurut kenyataan dari Makmal Pendorong Jet NASA.

Opportunity dan kembar­nya, Spirit merupakan pasangan kenderaan robot yang direka oleh NASA untuk mengembara di permukaan Marikh dan menghantar data tentang keada­an di planet itu ke Bumi.

Kedua-duanya mendarat di Marikh pada 2003 dalam misi yang sepatutnya berlangsung selama 90 hari dan meliputi 914.4 meter.

Spirit bagaimanapun bertahan 20 kali lebih lama daripada sepatutnya tetapi tersekat dalam ta­nah lembut pada 2009 dan misinya diisytiharkan tamat pada 2011.

Opportunity pula bertahan 60 kali lebih lama daripada jangka hayat misi yang dirancang dan telah mengembara sejauh 45 kilometer.

Robot itu juga berjaya me­nemukan bukti kewujudan air di planet Marikh dan keadaan yang sesuai untuk kehidupan organisma mikro.