LOS ANGELES 14 Dis. – Aktor Dwayne Johnson yang juga popular dengan gelaran sebagai ahli gusti The Rock berterima kasih kepada keluarganya selepas namanya dipahatkan atas Hollywood Walk of Fame, semalam.
Aktor filem terbaharu Jumanji itu yang juga salah seorang pelakon Hollywood yang menerima bayaran termahal itu dilihat beberapa kali terpaksa berhenti berucap kerana peminat menjeritkan namanya.
Dalam ucapannya, Dwyane, 45, melahirkan penghargaan terhadap mereka yang telah membantunya dalam karier sebagai pelakon termasuk kekasihnya, Laurel Hashian yang kini hamil anak kedua mereka.
“Kejayaan ini bukan datang sendiri dan tidak dilakukan seorang diri sebaliknya memerlukan satu pasukan, justeru saya amat berterima kasih terhadap mereka yang ada dalam hidup saya walaupun tidak ramai tetapi tanpa mereka maka siapalah saya,” katanya.
Selepas mengucapkan terima kasih kepada para peminatnya, Dwayne mengungkapkan kata-kata semangat yang dipegang sejak berusia 15 tahun iaitu ‘menjadi orang penting memang baik tetapi lebih penting menjadi orang baik’.
Bintang yang diberi kepada pelakon itu untuk diletak pada Hollywood Walk of Fame merupakan bintang yang ke-2,624 diberi kepada selebriti Hollywood.
Bintangnya diletakkan bersebelahan bintang milik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) World Wrestling Entertainment, Vince McMahon dan karektor rancangan kanak-kanak popular, Kermit the Frog. – REUTERS