Rang undang-undang itu dicadangkan oleh Ketua Parti Je­wish Home, Shuli Moalem-Refaeli yang menyebut penyerahan mana-mana bahagian Baitulmaqdis memerlukan persetujuan 80 ahli Knesset (Parlimen) iaitu tiga perempat daripada ahli Parlimen berkenaan.

Jawatankuasa Kementerian Un­dang-Undang telah meluluskan rang undang-undang tersebut.

Pemimpin parti Naftali Bennet, Bayit Yehudi berkata, penya­tuan Baitulmaqdis melalui rang undang-undang itu akan mengu­kuhkan kedudukan Israel di dunia dan menghalang sebarang tekanan pada masa akan datang terhadap rejim itu.

“Rang undang-undang penya­tuan Baitulmaqdis akan meng­halang sebarang kemungkinan un­tuk membahagikan bandar ini,’’ katanya.

Israel menuntut keseluruhan Baitulmaqdis manakala Palestin mahukan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Sejak menakluki kawasan itu, Israel telah membina beratus-ratus rumah sebagai penempatan haram penduduknya.

Israel telah merampas Baitulmaqdis Timur dalam perang Asia Barat pada tahun 1967 bersama-sama Tebing Barat dan Semenanjung Gaza serta mengisytiharkannya sebagai sebahagian daripada ‘ibu negara yang tidak boleh dibahagi buat selama-lamanya’.

Tindakan itu, bagaimanapun tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat dunia.

Pentadbiran Tel Aviv semakin hebat memberi tekanan terhadap penguasaan Baitulmaqdis sejak pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) pada bulan Januari lalu. – Bernama/Presstv