Setakat ini, nasib menimpa Julen masih belum diketahui selepas ibu bapanya mendakwa budak itu terjatuh ke dalam lubang gelap menyamai ketinggian bangunan 30 tingkat di bandar Totalan, selatan Sepanyol sebelum senyap.

Straits Times melaporkan, ibu bapa Julen, Jose Rosello dan Vicky Garcia yang sedang menyiapkan makan tengah hari semasa berkelah hanya menyedari kejadian tersebut apabila terdengar tangisan anak mereka.

Kesunyian daripada lubang berkenaan kini menimbulkan tanda tanya kepada 46 juta rakyat Sepanyol tentang bagaimana pasukan penyelamat boleh mencapai kanak-kanak itu atau adakah mereka sudah terlambat.

Pihak berkuasa memberitahu, kanak-kanak itu mungkin terjatuh ke dalam lubang yang digali seseorang untuk menghasilkan perigi.

Lubang dengan kedalaman lebih 100 meter dengan keluasan 38 sentimeter itu cukup besar bagi anak kecil untuk tergelicir namun tidak bagi orang dewasa atau penyelamat yang sedang mengejar masa untuk menyelamatkan Julen.

Kelmarin, pihak berkuasa menurunkan robot kecil ke dalam lubang berkenaan dan menemui beg yang mengan­dungi gula-gula dan cawan plastik yang dipegang Julen sebelum terjatuh namun tidak menemukan kelibat atau bunyi daripada kanak-kanak tersebut.

Daily Mail melaporkan, lubang tersebut menjadi semakin sempit sehingga robot tersebut tidak dapat melepa­sinya pada kedalaman 75 meter dipercayai disebabkan berlakunya tanah runtuh kecil ketika kanak-kanak itu jatuh.

Jurucakap Unit Penyelaras Kecemasan, Pilar Limon memberitahu NBC, pihak berkuasa mengambil masa dua hari untuk melakukan pelbagai rancangan untuk menyelamatkan kanak-kanak malang tersebut termasuk menggali terowong lain bagi memintas lubang berkenaan di samping menimbangkan segala kemungkinan di luar jangkauan kamera.

Sementara itu, ibu bapa Julen yang menunggu perkembangan anak mereka daripada sebuah khemah berharap supaya tuhan dapat menyatukan semula mereka sekeluarga. – AGENSI