Kehilangan mereka dilaporkan oleh ibu kepada seorang budak yang tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam. Bertindak atas laporan itu, pihak berkuasa tempatan menemukan basikal, kasut dan but bola di pintu masuk gua.

Keesokan harinya, pihak polis menemukan kesan tapak kaki dipercayai milik remaja terbabit. Ekoran itu, keluarga masing-masing mula berkumpul di pintu gua.

Pada 25 Jun, pasukan khas tentera laut Thai, SEAL memasuki gua bagi menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Sami dipanggil untuk berdoa ketika hujan lebat berterusan.

Hari berikutnya, penyelam menemukan simpang T beberapa kilometer dari pintu gua, tetapi terpaksa berpatah balik kerana ruang sempit yang menghubungkan ‘poket udara’ yang dipanggil Pattaya Beach diasak arus deras.

Berita mengenai kes ini mula tersebar di seluruh dunia dan pada 27 Jun, sebanyak 30 pasukan tentera dari US Pacific Command tiba, diikuti tiga pakar penyelam dari Britain. Tanpa berlengah mereka memasuki gua, tetapi berpatah balik ekoran banjir melanda ruang dalam gua.

Hujan terus mencurah sehinggakan kerja-kerja menyelamat dihentikan. Pam air digunakan bagi mengurangkan jumlah air di dalam gua. Dron pula digunakan untuk mencari lubang udara di bumbung gua. Ia adalah antara ikthiar yang dilakukan bagi menyelamatkan mangsa dari bahagian atas gua.

Dalam kegelisahan itu, pemimpin junta Thai, Prayut Chan-O-Cha melawat kawasan, berbual dan menasihatkan ibu bapa supaya tidak bimbang.

Selepas tiga hari hujan lebat tanpa henti, akhirnya mendung berlalu. Ini memberi peluang kepada penyelam untuk masuk lebih jauh ke dalam gua.

Tanggal 1 Julai, penyelam meneroka jarak yang lebih jauh. Beratus-ratus tangki gas dan alatan lain diletakkan di sepanjang laluan menyelamat yang lengkap dipasang tali.

Keajaiban berlaku pada 2 Julai apabila dua pakar penyelam dari Britain menemukan kesemua mangsa yang berlindung di kawasan seluas 10 meter persegi, kira-kira 400 meter dari Pattaya Beach.

Semua pihak bersorak gembira, namun tidak lama apabila memikirkan tugas sukar dan berisiko yang terpaksa digalas bagi membawa keluar mangsa dengan selamat.

Pasukan SAR kesuntukan masa. Menunggu musim monsun berakhir, bermakna remaja itu terpaksa berada di dalam gua selama empat bulan. Ia seperti membiarkan budak-budak itu menemui ajal secara perlahan akibat kekurangan oksigen.

Ini kerana selepas kematian seorang bekas penyelam Thai, Kunan, pasukan SAR mendapati kualiti dan paras oksigen di dalam gua semakin berkurangan.

Ketua SEAL, Aphakorn Yoo-kongkaew memberitahu, paras oksigen jatuh kepada 15 peratus pada 6 Julai lalu, merisikokan mangsa terkena hipoksia iaitu penyakit akut ketinggian.

“Amat berbahaya jika kita meninggalkan budak-budak itu terlalu lama di dalam gua. Kami tidak boleh tunggu lagi, sesuatu perlu dilakukan bagi membawa mereka keluar secepat mungkin,” katanya kepada pemberita.

Ternyata musim monson menjadi ‘musuh’ utama pasukan SAR. Curahan air dari atas gunung menutup laluan masuk ke dalam gua, sekali gus menghalang anggota SAR masuk jauh ke dalam gua. Kini, timbul pula masalah kemerosotan paras oksigen.

Menamakan pasukan bola sepak yang diwakili Moo Pa (Babi Hutan), kesemua remaja terbabit ketika ditemui sedang bermeditasi bagi mendapatkan ketenangan setelah terperangkap selama 10 hari dalam persekitaran gelap.

Mereka juga terpaksa meminum air gua yang tercemar, terdedah kepada najis burung serta kelawar yang boleh menyebabkan jangkitan berbahaya. Pasukan penyelamat bergilir-gilir menghantar makanan, bekalan perubatan dan surat daripada ibu bapa.