Komander Pasukan Pe­tugas Khas Tentera di Ma­rawi, Kolonel Romeo Brawner berkata, lelaki bersenjata dipercayai kumpulan militan Maute sedang mengumpulkan kekuatan kira-kira 200 pejuang de­ngan melakukan beberapa siri serangan ke atas pasukan keselamatan pada tahun ini selepas tentera kerajaan menawan semula Marawi, Oktober lalu.

“Mereka tidak melupakan objektif utama mereka untuk mewujudkan sebuah khalifah di Asia Tenggara dan Mindanao menjadi lokasi paling sesuai,” katanya.

Romeo berkata, bergelut dengan masalah kemiskinan dan pemberontakan kumpulan bersenjata yang mahu mewujudkan sebuah wilayah merdeka atau pemerintahan sendiri, Mindanao perlu me­ningkatkan pengawasan ke atas sekolah Islam yang agak lemah kerana premis itu berpotensi merekrut ramai anggota baharu.

Katanya, pasukan tentera sedang berusaha untuk menyaingi cabaran kumpulan Maute yang menawan Marawi selama lima bulan dan berikrar setia kepada kumpulan Daesh.

Brawner berkata, lelaki bersenjata yang lolos se­masa operasi ke atas Maute mula mengetuai usa­ha mencari rekrut baharu didorong oleh wang tunai yang banyak, senjata dan barang kemas yang diambil daripada bank dan rumah penduduk.

“Mereka kebanyakannya rakyat tempatan tidak termasuk sejumlah rakyat Indonesia yang mempu­nyai kemahiran membuat bom yang baru tiba baru-baru ini,” katanya.

Jurucakap tentera ber­kata, kumpulan bersenjata Maute membunuh tiga orang peniaga di bandar Piagapo dekat Marawi November lalu selain me­lakukan keganasan di bandar Masiu dan Pagayawan, bulan lalu. – AFP