Jenama tersebut diasaskan pada 1990-an oleh pereka kasut terkenal dari Malaysia, Jimmy Choo dan dikenali melalui rekaan kasut eksklusif dan aksesori serta mempunyai rangkaian kedai di bandar fesyen utama dunia se­perti London, Paris, New York dan Tokyo.

Jenama Jimmy Choo ditawarkan untuk dijual pada April lalu selepas pemegang saham majori­tinya, JAB memutuskan untuk memberi fokus kepada segmen barangan pengguna.

“Pada harga 230 pence (RM12.84) sesaham, pemegang saham akan menerima 36.5 peratus premium daripada harga saham sebelum proses penjualan diumumkan,” katanya di sini hari ini.

Michael Kors yang terkenal dengan barisan produk beg ta­ngan sedang bergelut dengan masalah yang dihadapi dengan penurunan jumlah jualan dan bilangan pelanggan semakin berkurangan.

Pengerusi Kehormat dan Ketua Pegawai Kreatifnya, Michael Kors berkata, dengan pengambilalihan itu, pihaknya telah berkembang kepada pakaian lelaki dan wanita serta melabur dalam perniagaan dalam talian.

“Setelah pengambilalihan se­lesai, jenama Jimmy Choo akan beroperasi seperti biasa di bawah pengurusan yang sama. Jimmy Choo adalah ikon jenama barangan mewah dengan barisan produk premium dan kami kagum dengan rekaan keluaran syarikat itu,” katanya.

Saham Jimmy Choo disenaraikan di London Stock Exchange pada 2014 dengan JAB sebagai pemegang saham utama diniagakan pada harga 140 pence (RM7.82) dan semalam saham syarikat itu ditutup pada 195 pence (RM10.89).

Jenama Jimmy Choo diasaskan bersama oleh pereka kelahiran Pulau Pinang, Datuk Jimmy Choo yang mendapat latihan di Cordwainers Technical College, London yang terkemuka pada 1996, bersama bekas wartawan Vogue, Tamara Mellon.

Jenama ini memperoleh pe­langgan setia terdiri daripada kerabat Diraja British, penyanyi dan pelakon seperti Duchess of Cambridge, Beyonce, Emma Stone dan Puteri Diana.

Pada 2011, Mellon mengambil alih kepentingan Choo di dalam syarikat, sebelum dibeli pula oleh firma JAB dan disenaraikan di Bursa Saham London pada 2014.