Sebaliknya, beliau hanya memohon maaf kepada rakan-rakan daripada partinya yang kehilangan kerusi akibat keputusannya yang mahu mengadakan pilihan raya lebih awal dengan tujuan mendapat mandat kukuh menjelang pelaksanaan Brexit.

“Seperti yang saya beritahu berulang kali semasa kempen, saya hanya mahukan majoriti yang lebih besar namun kita tidak memperoleh keputusan yang diinginkan,” katanya semalam.

Parti Konservatif menang 318 kerusi dengan 42.4 peratus undian manakala Parti Buruh memenangi 262 kerusi melalui 40 peratus undian iaitu peningkatan daripada 232 kerusi yang dimenangi semasa pilihan raya 2015.

Ketika May mengumumkan pembentukan kerajaan minoriti melalui sokongan parti kecil, Parti Kesatuan Demokratik Utara Ireland (DUP) yang membolehkan beliau terus memegang jawatan itu, Parti Buruh pula meraikan pencapaian yang di luar dugaan hasil kempen ketuanya, Jeremy Corbyn.

Corbyn antara yang menggesa May untuk berundur sebaik sahaja keputusan diumumkan de­ngan menyifatkan Perdana Menteri itu tidak mempunyai kuasa selepas Konservatif hilang mandat.

Menurut laporan portal Al-Jazeera, akhbar-akhbar tempatan yang sering memihak kepada Konservatif kini membelakangkan May antaranya The Times menyiarkan tajuk ‘May kini cedera parah’ sambil menyifatkan parti berkenaan telah lama dilanda krisis.

Akhbar Daily Mail melaporkan ahli-ahli Konservatif sedang berbincang kemungkinan me­ngadakan pilihan raya lain dan calon yang berkelayakan untuk menggantikan May.

Akhbar paling laris di Britain, The Sun pula melaporkan, anggota senior parti itu berjanji untuk menyingkirkan May namun mahu menunggu sehingga enam bulan ekoran kebimbangan persaingan kepimpinan akan memihak kepada Corbyn.

May dijangka mengumumkan butiran tentang kerajaan baharunya, namun masih belum dipastikan bentuk tuntutan yang dikemukakan DUP yang memperoleh 10 kerusi.

Sementara itu, portal BBC me­laporkan, Canselor Jerman, Angela­ Merkel berpendapat tiada sebab yang boleh menghalang rundingan Brexit diteruskan se­perti dijadualkan walaupun May gagal memperoleh majoriti.