Kucing jantan bernama Coby ini mempunyai sepasang mata biru yang disifatkan paling menawan. AGENSI

Malah, akaun Instagram Coby memiliki sebanyak 1.2 juta pengikut yang setiap hari ingin menatap mata biru haiwan tersebut.

Pada mulanya, tuan Coby iaitu Rebecca Schefkind mewujudkan akaun Isntagram kucing kesayangannya itu pada 2015 hanya untuk mengisi masa lapangnya.

Namun, kecantikan mata biru yang dimiliki Coby mula mendapat perhatian pengguna internet yang menyifatkannya sebagai mata kucing paling menawan.

Selepas jumlah pengikut Coby mencecah 150,000 orang, beberapa syarikat mula menawarkan makanan kucing percuma untuk dipromosikan dan sejak itu, Schefkind bertindak sebagai ‘pengurus’ kepada kucingnya.

Selain mempunyai mata biru yang menawan, Coby juga memiliki bulu berwarna putih bersih dan lembut, sekali gus mampu memukau sesiapa sahaja yang melihat kucing berkenaan.

Bentuk matanya juga dikatakan sempurna, selain kelihatan seperti memakai celak.

Seorang pengguna Instagram menyatakan bahawa dia akan menunggu tuan Coby memuat naik gambar kucing itu setiap hari kerana ingin menatap mata biru haiwan tersebut.

Ada juga pengguna internet melahirkan rasa sayang kepada haiwan comel itu selain tidak jemu melihat pelbagai keletah­nya yang dimuat naik dalam Instagram.