Kajian yang dijalankan oleh Tabung Alam Sekitar Sedunia (WWF) mendedahkan, manusia secara purata menelan lima gram (g) plastik pada setiap minggu dan jumlah itu adalah bersamaan dengan berat sekeping kad kredit.

Gulf News melaporkan, penyelidik dari Universiti Newcastle di Australia mendapati, selain air minuman sebagai sumber terbesar penyerapan plastik, satu lagi penyebab terbesar adalah kerang yang dimakan manusia.

Sejak tahun 2000, dunia menghasilkan produk berasaskan plastik yang mana satu pertiga daripadanya tersalur ke alam semula jadi seperti laut.

Hasil laporan berdasarkan 52 kajian itu menunjukkan, kira-kira 1,769 zarah plastik yang menyerap masuk ke dalam tubuh manusia pada setiap minggu berpunca daripada air yang diminum.

Laporan itu menyatakan, kira-kira 94.4 peratus air paip di Amerika Syarikat (AS) mengandungi serat plastik dengan purata 9.6 serat setiap liter.

Sementara air di Eropah didapati kurang tercemar berbanding AS dengan 72.2 peratus serat plastik dikesan atau bersamaan 3.8 serat bagi setiap liter.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya baru-baru ini memaklumkan, tahap mikroplastik dalam air minum masih belum mencapai tahap bahaya bagi manusia.

Menurutnya, data analisis mengenai kehadiran mikroplastik dalam air minuman masih terkawal.

“Mikroplastik yang bersaiz besar daripada 150 mikrometer tidak mungkin meresap masuk ke dalam badan manusia, namun peluang zarah mikroplastik bersaiz nano untuk meresap ke dalam badan masih tinggi, meskipun data mengenainya masih terhad,” katanya. -AGENSI