Gempa sekuat 7 pada skala Richter itu mengorbankan sekurang-kurangnya 131 orang selain mencetuskan keadaan panik dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong, iaitu se­minggu selepas satu gegaran meragut sebanyak 17 nyawa di pulau percutian terbabit.

Kira-kira 1,477 orang dilapor cedera parah dalam gempa terbaharu ini dengan puluhan ribu rumah penduduk rosak sehingga memaksa pihak berkuasa merayu lebih banyak anggota perubatan dan bekalan asas dihantar di lokasi bencana.

Menurut jurucakap agensi bencana nasional, Sutopo Purwo Nugroho, usaha memindahkan penduduk telah ditingkatkan tetapi masih terdapat banyak masalah yang dihadapi di lokasi kejadian.

“Jumlah kematian ketika ini dianggarkan 131 orang tetapi dijangka akan meningkat selepas puluhan ribu rumah runtuh dalam bencana ini,” katanya

Kebimbangan terhadap pe­ningkatan angka kematian penduduk timbul ketika pasukan penyelamat menggunakan jentera berat untuk mencari mangsa di sebalik sisa runtuhan rumah, sekolah dan masjid.

Harapan untuk menemukan mereka yang masih hidup sema­kin pudar.

Gabenor wilayah Nusa Tenggara Barat, Muhammad Zainul Majdi berkata, terdapat keperluan mendesak bagi kakitangan perubatan, makanan dan perubatan di kawasan yang terjejas teruk.

Ratusan mangsa yang masih berdarah dan dibalut dirawat di luar hospital yang rosak di bandar utama Lombok, Mataram dan beberapa kawasan lain.

“Kami kekurangan sumber manusia,” kata beliau sambil menambah skala kejadian gempa ini terlalu besar dan ia merupakan pengalaman pertama berdepan dengan kejadian sedemikian.

Sementara itu, di kawasan lain di Lombok, kampung yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti penduduknya kini bertukar menjadi bandar hantu.

“Di beberapa buah kampung yang kami lawati, tahap kemusnahan hampir 100 peratus apabila rumah semuanya runtuh, jalan raya retak dan jambatan rosak,” kata jurucakap Palang Merah Indonesia, Arifin Muhammad Hadi.

Selain itu, khemah sementara diadakan di bahu-bahu jalan dan sawah padi apabila kebanyakan petani enggan untuk berpindah jauh daripada rumah mereka yang rosak dan meninggalkan haiwan ternakan masing-masing.

Pihak berkuasa tempatan, kumpulan bantuan antarabangsa dan kerajaan pusat telah menghantar bantuan mereka tetapi jalan raya yang rosak melambatkan usaha untuk sampai ke tempat mangsa-mangsa terselamat di kawasan pergunungan bahagian utara dan timur Lombok yang terjejas teruk.

Tentera Indonesia berkata, tiga pesawat pengangkut Hercules sarat dengan makanan, perubatan, selimut, khemah dan tangki air telah tiba di Lombok.

Dalam perkembangan sama, pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa di sebalik sisa runtuhan sebuah masjid dengan harapan dapat menemukan ibu saudara kepada seorang pelari pecut Indonesia yang dinobatkan sebagai hero negara bulan lalu selepas memenangi kejuaraan dunia bawah-20 tahun di Finland.

Salama, 52, ketika kejadian gempa berlaku sedang menghadiri kelas agama di masjid kampung Karangpangsor.– AFP/REUTERS