Video yang dirakam seorang tentera menunjukkan pasukan penyelamat melaungkan perka­taan ‘Alhamdullilah’ ketika seorang lelaki dikeluarkan daripada bawah bumbung Masjid Jabal Nur yang ranap akibat gempa tersebut.

“Awak selamat tuan,” kata seorang tentera ketika emosi mula menyelubungi antara kawasan tumpuan pencarian.

Lelaki itu dipercayai seorang daripada empat mangsa yang terperangkap di dalam sisa runtuhan masjid berkenaan yang terletak di Desa Lading-lading, mukim Tanjung di daerah Lombok Utara.

Seorang wanita, Nadia Reva­nale, 23, turut berjaya dikeluarkan daripada sisa runtuhan sebuah pasar mini di Pemenang setelah dia terperangkap ketika membeli belah di premis terbabit semasa kejadian itu berlaku.

Tangisan Nadia meminta tolong didengar oleh jirannya daripada sisa runtuhan bangunan sebelum pasukan penyelamat mengambil masa selama empat jam mengeluarkan wanita itu.

“Pertama kami menggunakan tangan kami membersihkan serpihan sebelum menggunakan tukul besi, pahat dan mesin untuk mengeluarkan serpihan bangunan secara perlahan-lahan,” kata seorang sukarelawan penyelamat, Marcos Eric.

Utara Pulau Lombok merupakan kawasan paling terjejas teruk akibat gempa berukuran 7 pada skala Richter itu dan pasukan penyelamat berdepan ribuan bangunan musnah ketika bergelut untuk sampai ke kawasan terjejas.

Gempa itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 105 orang terbunuh tidak lama selepas satu lagi gempa di pulau percutian itu meragut 17 nyawa dan pasukan penyelamat percaya angka korban akan terus meningkat.

Lebih 20,000 orang dipercayai hilang tempat tinggal dengan 236 orang cedera parah dan pihak berkuasa meminta lebih banyak anggota perubatan dan bekalan keperluan asas ke lokasi bencana.

Gempa itu yang berlaku ketika kebanyakan penduduk menunaikan solat Isya’, kini ditumpukan kepada Masjid Jabal Nur selepas pihak berkuasa percaya masih banyak mangsa terpe­rangkap di sebalik sisa runtuhan masjid.

“Kami percaya masih terdapat banyak mangsa terperangkap kerana kami menemukan banyak selipar di hadapan masjid,” kata jurucakap agensi bencana nasional, Sutopo Purwo Nugroho.

Katanya, bangunan utama yang runtuh turut melibatkan klinik kesihatan, pejabat kerajaan dan pelbagai kemudahan awam lain.

Kira-kira 4,600 orang pelancong telah dipindahkan dari Pulau Gili, tiga pulau kecil yang terletak di pantai timur laut Lombok yang popular sebagai destinasi menyelam dan backpakers.

Seorang pelancong Perancis, Laurent Smadja yang berada di Gilli Meno, satu daripada tiga pulau itu menyifatkan suasana menjadi kelam kabut dan keliru selepas gempa itu berlaku.

“Kami terputus bekalan elek­trik dan tiada maklumat apa yang perlu kami buat. Kami lihat banyak orang menaiki bot tetapi tidak ada bot yang mendatangi kami,” katanya.

Hari ini, Smadja berjaya keluar dengan menaiki bot penduduk tempatan ke Lombok tetapi terpaksa bersesak dengan pelancong-pelancong lain yang turut menunggu penerbangan keluar.

“Terdapat ramai orang mahu keluar dari Lombok kerana berita palsu seperti tsunami,” kata Ke­tua Agensi Pelancongan wilayah Nusa Tenggara Barat, Muhammad Faozal. – AFP