Para saintis meramalkan lebih banyak letusan dan gempa bumi yang dijangka berlanjutan selama beberapa bulan akan datang selepas bahagian tenggara pulau itu dilanda gegaran sekuat 6.9 magnitud iaitu kejadian terkuat sejak 1975.

Menurut USGS semalam, beberapa rekahan baharu lava mula terbentuk di subdivisyen Leilani Estates Daerah Puna, kira-kira 19 kilometer dari gunung berapi tersebut.

Bagaimanapun, tidak semua rekahan berkenaan masih aktif, tambahnya.

Pusat Pemantauan Gunung Berapi Hawaii mengeluarkan kenya­taan pada tengah hari waktu tempatan semalam bahawa ‘aktiviti letusan semakin meningkat dan diramal berterusan’.

Seorang jurucakap pemantauan itu, Janet Babb menerusi perbualan telefon berkata letusan itu akan berterusan selama beberapa minggu atau beberapa bulan.

Menurut Babb, aktiviti letusan yang berlaku sejak Khamis lalu mula menunjukkan persamaan seperti satu kejadian lain di kawasan itu pada 1955 yang berakhir selepas 88 hari, ketika penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi itu adalah jauh lebih sedikit.

Menurut Agensi Pertahanan Awam Daerah, walaupun tiada ali­ran lava signifikan yang terbentuk, tetapi letusan tambahan lava yang boleh mencecah suhu kira-kira 1,150 darjah Celcius masih diramalkan berlaku.

“Jabatan Bomba Hawaii melaporkan bahawa kualiti udara berada dalam keadaan sangat bahaya ekoran kandungan tinggi gas sulfur dioksida di kawasan pemindahan,” kata Pegawai Pertahanan Awam semalam.

Gas berkenaan boleh menye­bab­kan rengsa kulit selain kesukaran bernafas.

Sementara itu, Ken Smith dari Mountain View yang menjalankan tugas di pulau itu pada petang kelmarin berkata, jalan raya di kawasan itu lazimnya sesak dengan trafik sebelum tiba hujung minggu, tetapi jalan raya berkenaan kelihatan sangat sepi,” katanya menerusi telefon.

“Keadaan itu seperti kiamat”.

Kilauea yang merupakan satu daripada gunung berapi paling aktif dan salah satu daripada lima gunung berapi yang terdapat di pulau itu berterusan meletus sejak 35 tahun lalu.

Menurut UGSG, aliran lava dari gunung berapi tersebut meliputi 125 kilometer persegi.