Lelaki berusia 25 tahun itu dimasukkan ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka sejak bulan lalu bagi menjalani pembedahan membuang ketuat terbabit yang mencecah berat sehingga 4.9 kilogram.

Abdul yang digelar sebagai ‘Lelaki Pokok’, menjalani pembedahan yang mengambil masa selama tiga jam setengah di hospital itu hari ini, sekali gus memberi harapan kepadanya untuk menjalani kehidupan sebagai manusia normal.

“Saya berjuang selama 10 tahun untuk menanggung kesakitan akibat ketuat ini.

“Saya mahu hidup normal selain mampu mendukung dan memeluk anak perempuan saya,” katanya se­perti yang dilaporkan portal Mail Online.

Isteri Abdul, Halima Khatun turut meluahkan rasa gembira apabila melihat suaminya selamat menjalani pembedahan itu.

Pengarah hospital tersebut, Samanta Lal Sen berkata, pihaknya berjaya membuang semua ketuat yang tumbuh pada lima jari tangan kanan Abdul.

“Kami akan memantau keadaan Abdul bagi tempoh tiga minggu lagi sebelum memutuskan untuk menjalani pembedahan lanjut kerana tugas ini merupakan cabaran yang besar,” katanya.

Kisah penderitaan Abdul mendapat simpati ramai pihak apabila berita tentangnya disiarkan dalam akhbar seluruh dunia.

Kerajaan Bangladesh bersetuju menanggung kos pembedahan dan perubatan Abdul, manakala pihak hospital turut berhubung dengan pejabat Perdana Menteri Sheikh Hasina bagi melaporkan perkembangan semasa tentang pesakit itu.