Daily Mail melaporkan, insiden itu berlaku ketika mangsa, Amine Britel sedang menghisap rokok tersebut di luar kelab malam itu di sini Jumaat lalu.

Rakaman video pendek berdura­si lima saat yang diambil daripada kamera litar tertutup menunjukkan, Britel terpaksa ‘bergelut’ untuk membuka jaketnya yang disambar api ekoran letupan kecil ber­kenaan.

Beberapa individu termasuk pengawal keselamatan yang kebetu­lan berada di kawasan ber­kenaan juga cuba sedaya upaya untuk membantu mangsa.

Menurut Britel, kejadian berlaku secara tiba-tiba dan dia tidak sempat untuk berbuat apa-apa.

“Selepas letupan itu berlaku, saya sedar jaket yang dipakai disambar api. Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku. Ini mungkin disebabkan oleh bateri rokok elektronik berkenaan,” katanya.

Britel memberitahu, dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Rangueil oleh anggota bomba untuk rawatan lanjut.

“Saya disahkan melecur tahap dua di bahagian perut. Tangan saya juga melecur ketika cuba membuka jaket yang terbakar. Mujur saya memakai t-shirt biasa dan bukannya jenis sintetik,” katanya.

Ujarnya, bateri rokok elektronik tersebut dibeli di sebuah kedai dan dipercayai buatan China.

Disebabkan kejadian itu, Britel merancang untuk menyaman syarikat pengeluar bateri terbabit.