Bertan-tan batu dan lumpur telah runtuh semasa gempa bumi berlaku dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter itu, kelmarin sebelum menghalang laluan pendakian di Gunung Rinjani.

Kira-kira 560 pendaki pada awalnya dipercayai terperangkap termasuk rakyat dari Amerika Syarikat (AS), Perancis, Belanda, Thailand dan Jerman serta pelbagai negara lain termasuk Malaysia.

“Sebanyak 543 pendaki telah turun dan mereka tiba di kaki gunung malam tadi.

“Sekarang hanya tinggal enam orang pendaki yang belum dibawa turun. Bagaimanapun, mereka berada dalam keadaan sihat dan selamat,” kata jurucakap agensi bencana nasional, Sutopo Purwo Nugroho.

Jurucakap bagi agensi mencari dan menyelamat Mataram, I Gusti Lanang Wiswananda berkata, kebanyakan pendaki tiba di pangkalan terletak di gunung tersebut pada petang semalam.

“Kesemua mereka keletihan tetapi berada dalam keadaan baik dan diberikan rawatan oleh pasukan perubatan sejurus tiba,” katanya.

Wiswananda berkata, seorang pendaki Indonesia terbunuh di atas gunung dan sebuah pasukan penyelamat terdiri daripada 30 orang mengiringi baki pendaki turun dari Tasik Segara Anak berhampiran puncak Gunung Rinjani.

Beratus-ratus pendaki lain berjaya keluar daripada gunung itu, kelmarin.

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam gempa yang berlaku di Lombok manakala ratusan bangunan musnah termasuk sebuah klinik kesihatan. – AFP